Polis kutip saman RM440,350

Hari terakhir catat RM182,530

Orang ramai mengambil kesempatan membayar saman susulan diskaun saman 50 peratus PDRM diberikan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, di sini, pada Ahad.
Orang ramai mengambil kesempatan membayar saman susulan diskaun saman 50 peratus PDRM diberikan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, di sini, pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM440,350 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, di sini, dalam masa tiga hari.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, orang ramai mengambil kesempatan melunaskan saman melalui potongan diskaun sehingga 50 peratus sempena jelajah tersebut bermula Jumaat.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 3,834 pelbagai saman dibayar di kaunter polis yang disediakan khas kepada pengunjung.

“Sebanyak RM85,480 bayaran dikutip pada hari pertama membabitkan 747 saman dan RM172,340 bagi 1,440 saman pada hari kedua.

“Hari terakhir pada hari ini merekodkan kutipan paling tinggi iaitu sebanyak RM182,530 membabitkan 1,647 pelbagai saman trafik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, di sini, pada Ahad.

Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Barudin berkata, pembayaran saman tersebut bukan sahaja melibatkan penduduk setempat di Perak tetapi turut membabitkan masyarakat luar Perak seperti dari Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurutnya, pengurangan saman itu tidak ditawarkan bagi saman seperti kemalangan, tidak boleh kompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan saman berstatus waran tangkap.

Selain itu, saman berkaitan ubahsuai ekzos, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan serta saman yang dikeluarkan ketika Op Selamat tidak termasuk di dalam pengurangan tersebut.