'Saya tetap sokong Ismail Sabri sebagai PM' - Tajuddin

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

PASIR SALAK - UMNO Bahagian Pasir Salak akan terus menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, biarpun terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ismail Sabri namun, perkara itu tidak menjejaskan keyakinan rakyat.

Menurutnya, kerajaan ketika ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu meringankan beban rakyat.

"Saya tetap setia dan sokong Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Biar orang kata apa pun pada beliau, lembik la apa la. Selaku wakil rakyat, selagi saya bergelar ketua atau tidak kita di Pasir Salak akan memberi jaminan untuk memberi sokongan padu untuk beliau (Ismail) menjadi PM.

"Kita mahu Datuk Seri (Ismail Sabri) terus jadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum," katanya ketika berucap dalam Kenduri Rakyat sempena Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Tajuddin (kanan) berkata sesuatu kepada Ismail Sabri ketika Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini pada Ahad.
Tajuddin (kanan) berkata sesuatu kepada Ismail Sabri ketika Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Hadir sama pada Ismail Sabri dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada 22 Jun lalu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed secara terbuka mengkritik Ismail Sabri dengan menganggap Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri dari UMNO paling lemah dalam sejarah.

Menerusi laporan sebuah portal berita, kritikan Nur Jazlan itu dibuat sebagai mengkritik tindakan Ismail Sabri yang lewat mengambil keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.

Ia susulan Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).