Usul Perjanjian Malaysia Baharu tuntut hak Sabah

Mohamad (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri Konvensyen BN di Pusat Komersial dan Antarabangsa (ITCC) Penampang, pada Sabtu. Turut sama, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN. - Foto Bernama
Mohamad (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri Konvensyen BN di Pusat Komersial dan Antarabangsa (ITCC) Penampang, pada Sabtu. Turut sama, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN. - Foto Bernama
A
A
A

PENAMPANG - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada kepimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, perjanjian baharu itu perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia.

"Kita mesti mempunyai jalan keluar untuk isu ini. Ia telah berlarutan sekian lama dan rakyat Sabah mahukan jalan ke hadapan yang konkrit. Pada tahap rundingan dan persefahaman yang berlangsung sekarang, saya rasa ia tidak menjurus kepada sebuah persefahaman dan persetujuan diharapkan.

"Mungkin kita memerlukan perjanjian baharu... MA63 pada pandangan saya, semangat dan aspirasinya adalah dalam konteks yang sangat berbeza. Zaman telah berubah. Malaysia juga telah banyak berbeza.

"Masa depan pula penuh dengan rahsia dan potensi luar biasa. Pastinya kita mesti melihat semuanya dalam konteks masa depan, bukan lagi terus pegun dengan sejarah silam,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Sabah di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata, aspirasi Perjanjian Malaysia Baharu mestilah mengiktiraf hak-hak yang menjadi asas kepada Sabah termasuk Sarawak dan usaha mengembalikannya juga harus sesuai dengan semangat pembentukan Malaysia serta kepentingan masa depan bersama.

"Kita wajar mengusulkan perjanjian baharu ini kerana kita mesti memberikan dimensi baharu kepada sistem federalisme kita. Devolusi pemusatan kuasa di Pusat kepada semua wilayah dan negeri dalam Malaysia adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, BN Sabah juga perlu mengemukakan rancangannya dalam usaha meneroka segala potensi ekonomi negeri seiring hasrat parti untuk membangunkan Sabah menjadi kuasa besar baharu ekonomi untuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedudukan Sabah yang sangat strategik serta dekat dengan Asia Timur manakala perkongsian sempadan dengan negara Filipina, Brunei dan Indonesia wajar dijadikan pemangkin untuk memperkasakan lagi pembangunan ekonomi negeri itu.

"Potensi dan sumber baharu mesti diteroka. Peralihan kepada ekonomi masa hadapan dalam pelbagai sektor asas seperti pertanian, perikanan, pelancongan dan perindustrian mesti diarusperdanakan,” katanya.

Mengulas persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohamad berkata, semua pemimpin dan ahli BN khususnya di Sabah perlu memberi citra baharu dengan sentuhan serta imej berbeza yang berupaya menghasilkan gelombang biru lebih padu di negeri itu.

Beliau berkata, Sabah adalah wilayah yang sangat penting dalam usaha membentuk kerajaan BN Persekutuan yang stabil kerana tanpa Negeri Di Bawah Bayu, gabungan politik itu akan berdepan kesukaran untuk mendapat majoriti diperlukan.

"Tanpa kerusi dari Sabah, ketidakstabilan akan terus menjadi landskap politik Malaysia,” katanya sambil menambah perjalanan BN di Sabah sangat unik dan sepanjang ia memerintah, kedudukan politik di negeri itu amat stabil sehingga digelar ‘simpanan tetap’ BN.

Mohamad juga mahu kepimpimpinan dan ahli BN mengambil pengajaran daripada episod Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 yang menyaksikan gabungan politik itu gagal mempertahan kelangsungan membentuk kerajaan.

Justeru, katanya Konvensyen BN Sabah adalah amat penting dalam menggembleng kesepaduan antara pemimpin dan ahli parti untuk mencetuskan semula gelombang BN di negeri itu. - Bernama