Sila log masuk terlebih dahulu.

Roboh Stadium Shah Alam masih dalam perbincangan

Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan perlindungan kematian dan perbelanjaan pengebumian kepada salah seorang penerima pada Jelajah Selangor Penyayang Peringkat Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor, pada Sabtu.
Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan perlindungan kematian dan perbelanjaan pengebumian kepada salah seorang penerima pada Jelajah Selangor Penyayang Peringkat Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor masih dalam peringkat penelitian dan perbincangan termasuk pilihan merobohkan Stadium Shah Alam sebagai langkah penjimatan jangka masa panjang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu masih dalam peringkat penelitian dan akan diputuskan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, Stadium Shah Alam memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kos penyelenggaraan iaitu RM5 juta pada setiap tahun.

"Cadangan merobohkan adalah salah satu pilihan kerana kita terpaksa menjalankan kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam pada setiap tahun," katanya pada sidang akhbar selepas Jelajah Selangor Penyayang Peringkat Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Amirudin berkata, sudah tiba masanya pelan jangka panjang diputuskan kerajaan negeri bagi mengambil kira soal keselamatan di stadium itu.

"Kita tidak mahu hanya baik pulih stadium semata-mata sebaliknya ada komponen lain bermasalah dan memerlukan penyelenggaraan," ujarnya.

Beliau memberitahu, sudah pasti keputusan itu nanti turut mengambil kira soal teknologi dan kelengkapan sistem baharu yang diperlukan oleh stadium bola sepak.

"Perkara ini akan dinilai oleh kumpulan profesional secara teknikal bagi memastikan segala keperluan dan keputusan diambil nanti membawa kepada kepentingan stadium itu pada masa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, cadangan dan perancangan masa depan Stadium Shah Alam akan diumumkan pada 16 Julai ini.

"Kita akan umumkan (keputusan cadangan) pada 16 Julai ini bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam.

"Buat masa ini tidak elok jika saya huraikan keseluruhan kerana ia melibatkan perbincangan semua pihak yang terbabit dalam pengurusan bola," ujarnya.