Industri halal dapat tempat dalam masyarakat

Abdul Halim (dua dari kiri) bersama Kon Yeow (tiga dari kiri) meninjau salah satu gerai yang dibuka di PIHEC di Pusat Konvensyen SPICE pada Sabtu.
Abdul Halim (dua dari kiri) bersama Kon Yeow (tiga dari kiri) meninjau salah satu gerai yang dibuka di PIHEC di Pusat Konvensyen SPICE pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN BARU - Industri halal kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk golongan bukan Islam menerusi kerjasama baik untuk membangunkan industri itu dalam pelbagai sektor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua lapisan masyarakat belajar antara satu sama lain dan bekerjasama untuk mempertingkatkan industri global tersebut.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang yang mengamalkan kerjasama harmoni untuk mencapai matlamat yang sama iaitu keamanan dan kemakmuran.

"Dari sektor makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan farmaseutikal hingga ke pelancongan, semua lapisan masyarakat belajar daripada satu sama lain dan bekerja untuk memperkayakan seluruh industri global ini.

"Ini adalah jenis kerjasama harmoni yang berakar umbi dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Di sini, umat Islam dan bukan Islam secara aktif bekerjasama dalam mencapai matlamat yang sama untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.

"Dengan kerjasama yang positif ini, kerajaan negeri melihat industri halal di Pulau Pinang mencatat pertumbuhan yang mengagumkan. Dengan gabungan ekosistem ekonomi, bakat manusia serta latar belakang cemerlang dalam pembuatan, logistik dan infrastruktur rantaian bekalan, saya yakin kita dapat menunjukkan potensi terbaik kita," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) di Pusat Konvensyen SPICE di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang mempunyai asas ekonomi yang kukuh apabila mencatatkan RM76.2 bilion dalam pelaburan walaupun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mengumumkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia melepasi kadar pertumbuhan negara iaitu 5.8 peratus dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM99.0 bilion. Jumlah itu merupakan lonjakan sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada -2.1 peratus pada 2020 ketika kita teruk dilanda wabak.

"Kebanyakan industri seperti sektor perkhidmatan (2.1 peratus), pembuatan (12.4 peratus) dan pembinaan (12.9 peratus) berkembang kecuali subsektor perdagangan borong dan runcit, F&B dan subsektor perhotelan. Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati.

"Kita perlu menggunakan kecekapan yang lebih besar dalam perniagaan dan terus berusaha untuk kecemerlangan, terutamanya untuk industri halal kerana potensi untuk berkembang sangat besar. Pada skala global, saya percaya dengan kejayaan yang ditunjukkan, Pulau Pinang mampu untuk dijadikan contoh," katanya.

Tambahnya, dengan kemajuan positif yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini, pihaknya melihat etika industri halal berpotensi besar untuk menarik minat semua pihak dari seluruh dunia.

"Perkara ini dapat dilihat selepas pembukaan semula sempadan negara yang mana, industri pelancongan kita kini dalam fasa pemulihan. Industri halal berpotensi untuk mengembalikan semula pasaran dunia kembali ke paksinya.

"Bagi industri untuk berkembang maju, kita mesti memanfaatkan semua sinergi berpotensi yang ada. Kita mesti memacu ekosistem yang ada dengan teknologi baru dan meneroka semua bidang pertumbuhan termasuk melengkapkan usahawan halal dengan akses dan pengetahuan digital untuk memulakan pertumbuhan 'exponential' mereka," katanya.