Selangkah ke alam dewasa

DALAM Islam bersunat atau khatan adalah perintah agama yang sangat dituntut bagi lelaki dan wanita serta dianggap wajib oleh Mazhab Syafie kerana ia menyucikan diri, mengikut fitrah dan menjaga kebersihan untuk ibadah seperti solat.
Sempena cuti sekolah pada penghujung 2025 lalu, banyak pihak tidak kira perseorangan dan organisasi mengambil kesempatan mengadakan program tersebut.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama pihak Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sungai Buloh, DSW AI- Fateh dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam telah mengadakan program Mega Sunnathon MBSA (MSM) 2025 yang disambut dengan meriah di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Menurut Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA, Shahrin Ahmad, program MSM 2025 melibatkan penyertaan seramai 200 orang kanak-kanak dari kawasan Sungai Buloh dan sekitar.
"Ini merupakan inisiatif MBSA dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat melalui kerjasama strategik bersama rakan-rakan strategik kami.
"Kerjasama antara pihak MBSA dengan komuniti setempat diadakan sejak beberapa bulan lalu dalam aspek pendaftaran kesemua peserta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program MSB 2025 di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli MBSA merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 23, Anuar Abd Rahman; ketua-ketua kampung, pengurusan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Bandar Baru Sungai Buloh dan pengurusan tertinggi MBSA.
Shahrin berkata, program tersebut merupakan program kali ketiga diadakan di bandar raya tersebut dan sambutannya amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat sejak kali pertama diadakan beberapa tahun lalu.

"Apa yang kita tonjolkan bukan sekadar ibadah sunat itu sendiri malahan kita mengekalkan tradisi upacara bersunat seperti amalan orang tua kita dahulu.
"Selain dihimpunkan beramai-ramai dalam satu majlis bersunat, peserta dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah dan menengah turut dimandikan dengan pancuran air yang dikawal selia JBPM Sungai Buloh," ujarnya.

Jelasnya lagi, penganjuran program tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-3: Kesihatan dan Kesejahteraan (Good Health and Well-Being) yang menekankan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
Tambahnya lagi, pihaknya berharap program tersebut dapat memberikan kesempatan kepada kanak-kanak bagi menjalani proses berkhatan dengan tenang di samping terus mengeratkan hubungan di antara pihak MBSA dengan komuniti setempat.
Ringkasan AI
- Dalam Islam, bersunat dianggap wajib oleh Mazhab Syafie dan menyucikan diri
- Sempena cuti sekolah, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan beberapa pihak lain mengadakan program Mega Sunnathon
- Program tersebut melibatkan 200 orang kanak-kanak dari Sungai Buloh dan sekitar
- Ini adalah program kali ketiga yang diadakan di Shah Alam dan mendapat sambutan positif dari masyarakat
- Program bersunat ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan tentang Kesihatan dan Kesejahteraan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
