'Serang saya bermakna melemahkan kepimpinan BN' - Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan beliau seorang Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dan sebarang tindakan menyerangnya akan melemahkan kepimpinan dalam parti.

Menurutnya, sokongan kepada kerajaan yang dipimpinnya diperlukan untuk menghadapi pelbagai tindakan termasuk mengelak daripada berlaku kenaikan harga barang yang melampau sehingga menjejaskan rakyat.

"Kerajaan akan terus cuba mengelak kenaikan harga barang yang melampau bagi memastikan rakyat tidak begitu tertekan. Setakat ini lebih RM70 bilion dibelanjakan untuk memastikan harga barang tertentu dapat kita berikan subsidi supaya tidak ada kenaikan yang mendadak.

"Saya harap dalam kalangan kita tolong beri sokongan kepada kerajaan dalam menghadapi tindakan. Kita serang kerajaan bermakna kita serang yang dipimpin oleh BN. Sebab saya berada di dalam kerajaan mewakili UMNO dan BN.

"Saya Perdana Menteri BN, bukan Perdana Menteri parti lain, serang saya bermakna melemahkan kepimpinan BN. Jadi saya mohon sokongan daripada tuan, puan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya fokus kepada menentang parti pembangkang yang menyerang BN, berikutan pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Saya harapkan adalah perpaduan sesama kita. Kita kalau bercakap soal pilihan raya kita mesti merapatkan hubungan, kalau sebelum ini kurang rapat dan fokus kita adalah menentang parti pembangkang. Musuh kita sekarang adalah pembangkang," katanya.

Tambahnya, pembangkang ketika ini sudah memulakan momentum ke arah menentang kerajaan untuk menaikkan sentimen rakyat mengenai kerajaan.

"Pembangkang sekarang apabila mereka sudah dapat gambaran pilihan raya akan diadakan, flashmob telah pun bermula di Masjid Kampung Baru dan saya difahamkan flashmob lain akan diteruskan.

"Mereka akan memulakan momentum ke arah menentang kerajaan dengan menaikkan sentimen rakyat terhadap kerajaan apabila berlakunya kenaikan harga barang," katanya.