Karnival Jualan Ehsan Aidiladha bermula Selasa depan

Mohamad Khairil
Mohamad Khairil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengumumkan Karnival Jualan Ehsan PKPS Aidiladha di lima lokasi di negeri tersebut bermula 5 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, karnival tersebut dilaksanakan bagi memastikan rakyat Selangor mendapat akses kepada barang makanan segar dan mengurangkan beban akibat kenaikan harga makanan menjelang musim perayaan.

Menurutnya, karnival berkenaan akan diadakan di lima lokasi berbeza setiap hari selama empat hari dengan membawa barangan segar pada harga rendah.

"Terdapat lima barangan jualan utama yang akan ditawarkan pada hari berkenaan iaitu ayam dengan berat minimum 1.8 kilogram (kg) pada harga RM15 seekor; telur ayam gred B (RM12 sepapan); minyak masak sekilogram (RM2 sepeket), daging pejal segar (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepeket).

“Kuantiti barangan yang akan dibawa ke setiap lokasi adalah sebanyak 2,000 ekor ayam, 1,000 papan telur ayam gred B, 1,700 peket minyak masak, 1,000kg daging segar dan 100 peket ikan sejuk beku,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, selain barangan-barangan mentah tersebut, pihaknya turut menjual beras seberat lima kg beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak lima kg dan gula peket.

Ujarnya, had belian turut ditetapkan secara runcit iaitu dua unit bagi setiap jenis barangan untuk seorang pembeli.

"Karnival jualan akan diadakan di Taman Perwira, Sijangkang pada 5 Julai; berhadapan Petron Seksyen BB8, Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung (6 Julai); Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat (7 Julai); Jalan GP2, Taman Gombak Permai, Gombak dan belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah, Pandan (8 Julai)," katanya.