YaPEIM sasar golongan muda

A
A
A

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad bersama wakil korporat yang menjadi penyumbang Tabung Amanah YaPEIM.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad bersama wakil korporat yang menjadi penyumbang Tabung Amanah YaPEIM.

Skim Potongan Gaji YaPEIM (SPG) yang diperkenal sejak tahun 1985, menjadi wadah bagi kakitangan bergaji tetap sektor awam mahupun swasta menyumbang kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

Selepas 37 tahun, SPG dijenamakan semula kepada Skim Infaq Gaji YaPEIM (SIG) bagi memberi nilai tambah yang lebih efisyen sesuai dengan situasi semasa yang ingin ditonjolkan YaPEIM dalam mempelopori aktiviti amal jariah dan infaq di Malaysia.

Penjenamaan semula Skim Potongan Gaji YaPEIM kepada Skim Infaq Gaji YaPEIM ini turut menampilkan kaedah menyumbang, capaian maklumat, logo dan persepsi yang lebih murni kepada penyumbang.

Ia turut menampilkan imej baharu kepada penyumbang terutamanya golongan muda untuk bersama-sama YaPEIM membantu golongan kurang bernasib baik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad (tengah), bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (kiri) dan Awang @ Musran pada Majlis Apresiasi Penyumbang Tabung Amanah YaPEIM dan Penjenamaan Semula Skim Potongan Gaji YaPEIM pada Isnin.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad (tengah), bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (kiri) dan Awang @ Musran pada Majlis Apresiasi Penyumbang Tabung Amanah YaPEIM dan Penjenamaan Semula Skim Potongan Gaji YaPEIM pada Isnin.



Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil berkata, sejak YaPEIM ditubuhkan kerajaan Persekutuan pada 1976 (sebelum dilancarkan semula pada 20 Julai 1984) pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan bagi mengukuhkan institusi sosial dan ekonomi umat Islam di negara ini.

“Ketika memperkenalkan Skim Potongan Gaji YaPEIM pada 1985, ramai kakitangan awam dan swasta sama-sama memberi persetujuan gaji bulanan mereka dipotong sekurang-kurangnya RM1 sebulan melalui majikan masing-masing.

“Objektif YaPEIM mewujudkan skim ini bertujuan menyediakan prasarana kepada golongan memerlukan melalui sumbangan masyarakat secara tersusun dan sistematik untuk membolehkan YaPEIM melaksanakan pelbagai program amal jariah,” katanya kepada Sinar Harian.

AWANG @ MUSRAN
AWANG @ MUSRAN

Jelasnya, dalam meningkatkan dana Tabung Amanah YaPEIM yang menjadi platform pengumpulan dana SIG, skim ini juga adalah pelengkap kepada Skim E-Jariah, Skim Resit Amal Jariah dan Skim Korporat Penyayang.

Katanya, SIG turut mempunyai beberapa kelebihan antaranya, agihan sumbangan dilakukan secara strategik, setiap terimaan sumbangan akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara malah YaPEIM turut dipantau dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia melalui menteri yang bertanggungjawab.

Melalui SIG, beliau yakin ia dapat diterima masyarakat terutama generasi muda sekali gus menjadikan YaPEIM sebagai sebuah institusi amal jariah dan ekonomi Islam yang utuh serta disegani.

“Saya menyeru masyarakat tidak kira sama ada kakitangan kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama YaPEIM menjayakan skim ini demi kemaslahatan umat. Insya-ALLAH lebih ramai mereka yang tidak bernasib dapat dibantu,” katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad menyerahkan bantuan kepada penerima manfaat YaPEIM sambil disaksikan Awang.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad menyerahkan bantuan kepada penerima manfaat YaPEIM sambil disaksikan Awang.

SKIM INFAQ GAJI YaPEIM (SIG)

Jumlah sumbangan SPG terkumpul 1985 - 31 Mei 2022: RM652,337,779.09

Penyumbang terkumpul: 561,516

Penyumbang aktif: 245,252

Skim Infaq Gaji YaPIEM
Skim Infaq Gaji YaPIEM

Kategori penerima manfaat: Pelajar, keluarga miskin, usahawan, anak yatim / miskin, kumpulan B40, pertubuhan kebajikan / institusi pendidikan dan kumpulan sasar yang dikenal pasti.

Jumlah agihan terkumpul dari tahun 1985 - Mei 2022: RM797.77 juta

Penerima manfaat: 8.18 juta orang