Kedah komited pulihara khazanah alam

Mukhriz(tengah) menunggu detik lampu dimatikan sempena Earth Hour.
Mukhriz(tengah) menunggu detik lampu dimatikan sempena Earth Hour.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah komited dalam pemuliharaan khazanah alam di Hutan Simpan Ulu Muda walau kehilangan hasil hutan hingga mencecah puluhan juta apabila menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yakin keputusan diambil adalah tepat memandangkan Ulu Muda merupakan hutan tadahan air yang penting di negeri ini.

"Kita dapat pastikan rakyat Kedah menerima bekalan air yang mencukupi melalui pemuliharaan kawasan Ulu Muda, malah air dari kawasan tadahan Hutan Ulu Muda turut membekalkan air ke sawah yang luas, sehingga Kedah mendapat jolokan Jelapang Padi Malaysia dan menjadi pengeluar beras utama negara," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program 'Earth Hour Night Run Event' peringkat Kedah anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Kerajaan Tempatan), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan WWF Malaysia di pekarangan Aman Sentral, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew, Pegawai Kewangan Kedah, Isahak Murat, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad dan Pengarah Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim Chooi Kuan.

Mukhriz (tengah) membuat perlepasan peserta larian.
Mukhriz (tengah) membuat perlepasan peserta larian.

Katanya, air disalurkan Ulu Muda turut memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan Perlis juga merupakan benefisiari yang bergantung kepada air yang dibekalkan untuk penggunaan domestik, komersial dan perindustrian, selain Kedah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemuliharaan hutan Ulu Muda ini tidak hanya memastikan sekuriti makanan negara, malah turut menjamin bekalan air yang mencukupi untuk penjanaan aktiviti ekonomi bagi negeri di Utara Semenanjung Malaysia.

Justeru, katanya, mereka berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan benefisiari dan Kerajaan Persekutuan untuk mencari sumber hasil baharu bagi memajukan Kedah demi kejayaan Malaysia secara keseluruhannya.

"Kini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor pembalakan di dalam kawasan tadahan air seperti Ulu Muda, sebaliknya perlu mengantikannya dengan aktiviti-aktiviti ekonomi lain, seperti perlancongan," katanya.

Mukhriz berkata, usaha berkenaan dilihat dapat meningkatkan daya sosio-konomi rakyat dan memastikan keperluan asas yang berasaskan sumber alam semulajadi ini diteruskan.

"Untuk itu, kita akan terus kerjasama rapat dengan organisasi seperti WWF dalam mencari cara yang lebih lestari untuk menjana pendapatan, dan berharap Kedah akan menjadi contoh terbaik kepada negeri lain," katanya.

Dalam perkembangan sama,Mukhriz berkata, Kedah turut mengambil langkah yang lebih mesra pada setiap hari Jumaat dan Sabtu di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengamalkan Hari Tanpa Beg Plastik, selain pemuliharaan Ulu Muda.

"Sehubungan itu, premis perniagaan seperti pasaraya dan kedai serbaneka tidak boleh memberi beg plastik kepada pengguna dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik di Kedah," katanya.

Menurutnya, pengguna yang memerlukan bag plastik perlu membuat bayaran dalam amaun kecil, yang mana ia akan dikumpul dan disalurkan kepada badan amal tempatan di daerah masing-masing.

Mukhriz berkata, dasar ini juga meliputi penggunaan straw minuman dan kotak polisterin, yang mana diharapkan memupuk amalan menggunakan barangan yang boleh dikitar semula melalui cara itu.

Kata beliau, tindakan sedemikian antara beberapa langkah pro-aktif dan positif yang diambil kerajaan negeri demi membimbing rakyat supaya mengamalkan gaya hidup mesra alam.

Terdahulu, lampu dipadam sebagai simbolik perpaduan dengan penduduk bersuara untuk perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi melalui acara Earth Hour terbabit.