Batu Puteh: Veteran UMNO kesal dengan Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO mendesak kerajaan meneruskan usaha mengkaji semula keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik rayuan di International Court of Justice (ICJ) berhubung tuntutan ke atas Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut veteran UMNO, tindakan Dr Mahathir yang tidak mahu mengiktiraf kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) semakan undang-undang kes berkenaan juga amat dikesali.

"Tindakan Dr Mahathir ini tidak menghormati keputusan kabinet yang melantik Apandi dalam sidangnya pada 29 Oktober, 2021.

"Veteran menyokong keputusan kerajaan yang mengekalkan Apandi sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu walaupun Dr Mahathir enggan menerimanya.

"Veteran UMNO berpandangan keengganan Dr Mahathir menerima Apandi sebagai pengerusi kerana dia tidak sanggup berdepan dan menjawab soalan daripada Apandi yang mempunyai fakta-fakta berhubung rayuan tuntutan itu.

"Sekali gus dia tidak mampu menipu dan berbohong kepada jawatankuasa tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi kenyataan sama juga, veteran UMNO berkata, tindakan Mahathir adalah satu keputusan yang luar biasa apabila membuat keputusan secara solo tanpa merujuk kepada kabinet.

Veteran UMNO juga mendakwa Dr Mahathir juga cuba melepaskan diri setelah membuat keputusan yang salah dengan menyalahkan kerajaan Johor.

"Batu Puteh adalah maruah negara. Walaupun ianya sebesar tahi kambing.

"Tindakan Dr Mahathir langsung tidak membuktikan dia mempunyai semangat patriotik," katanya.

Dr Mahathir dilapor tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara Pada Selasa.

Keengganan Dr Mahathir untuk memberikan kerjasama kerana selagi Mohamed Apandi masih bertindak sebagai Pengerusi PPK.

Dalam reaksi balas mengenai situasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada isu berbangkit berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 untuk melantik Mohamed Apandi sebagai Pengerusi PPK memandangkan pertimbangan sewajarnya telah dilaksanakan terhadap keputusan menubuhkan pasukan petugas itu.

Justeru, sebarang bantahan mengenai kedudukan Mohamed Apandi sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.