Pernas sasar lahir 22 usahawan pra francais

Mazlan (depan lima dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian pada Mini BITe 2022 dpada Rabu.
Mazlan (depan lima dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian pada Mini BITe 2022 dpada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan untuk melahirkan 22 usahawan pra-francais baharu di bawah Program Transformasi Perniagaan (BIT) tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Ibrahim berkata, terdapat 184 jenama telah berdaftar di bawah program tersebut dengan 2,000 pra francais berjaya dilahirkan seterusnya membuka lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Menurutnya, sejak tahun 2013, Pernas telah membiayai RM8.3 juta untuk program BIT.

"Bagi menambah baik program ini, pakej pembiayaan pra-francaisi dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM50,000 bermula tahun ini bagi memberi peluang kepada bakal usahawan untuk memiliki konsep perniagaan yang lebih menarik dan penggunaan peralatan lebih berkualiti.

"Pada masa sama, Pernas turut menyasarkan 20 hingga 25 produk di bawah program BIT yang berpotensi untuk dibangunkan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mini Expo Transformasi Perniagaan (BITe) 2022 di sini pada Rabu.

Mazlan menyampaikan sijil penghargaan kepada usahawan BIT Zon Pantai Timur sempena Mini BITe 2022 pada Rabu.
Mazlan menyampaikan sijil penghargaan kepada usahawan BIT Zon Pantai Timur sempena Mini BITe 2022 pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Che Zainudin Che Jusoh. Mazlan berkata, program BIT dilaksanakan bagi mentransformasikan perniagaan usahawan kecil ke arah perniagaan francais yang lebih komersial.

"Selain membantu usahawan kecil dan sederhana menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan, Pernas juga menyasarkan syarikat BIT yang berpotensi didaftar sebagai perniagaan francais," katanya.

Menurutnya, Pernas memperuntuk RM43 juta dalam usaha melahirkan usahawan berdaya saing di negara ini melalui pembiayaan dan latihan khusus kepada usahawan francais termasuk francaisor dan francaisi.

Sementara itu beliau berkata, penganjuran Mini Bite 2022 yang diadakan di negeri ini bertujuan membuka peluang kepada orang ramai meneroka dan menceburi bidang perniagaan pra-francais.

"Untuk Mini BITe ini,kita sasarkan potensi pembiayaan sehingga RM300,000," katanya.

Tambah beliau, program yang diadakan sempena Minggu Usahawan Negera 2022 itu meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan BIT dan taklimat daripada agensi kerajaan terlibat.

"Turut diadakan sesi pemadanan perniagaan, forum dan perkongsian kisah kejayaan usahawan berjaya," katanya.