Polis rampas pil kuda bernilai lebih RM2.5 juta

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Kota Bharu dan Bachok pada Isnin.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Kota Bharu dan Bachok pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan merampas sebanyak 252,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta menerusi dua serbuan di Kota Bharu dan Bachok pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kereta di kawasan parkir kedai makan di Kampung Jejulok Bangu kira-kira jam 3 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan menemui sebuah kotak di belakang tempat duduk kereta yang mengandungi 84,000 pil yaba dianggarkan bernilai RM84,000.

"Dalam serbuan itu, tiga lelaki yang juga penganggur berusia 27 hingga 33 tahun ditahan.

"Siasatan awal mendapati dua suspek berusia 27 dan 29 tahun positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah," katanya ketika sidang akhbar rampasan dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Rabu.

Muhamad Zaki berkata, susulan penahanan tiga individu itu, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang.

Tambah beliau, polis menemui sebuah kotak berisi 28 bungkusan kertas yang mengandungi pil disyaki dadah di atas kabinet di bahagian dapur rumah.

"Anggaran keseluruhan rampasan di rumah berkenaan kira-kira RM1.7 juta.

"Selain itu, kita turut menyita sebuah motosikal Honda Icon, wang tunai berjumlah RM3,950 dan sebuah kereta Perodua Myvi. Nilai kesemua sitaan ialah RM29,450," katanya.

Muhamad Zaki berkata, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 126,000 penagih dan suspek disyaki aktif sejak tahun 2020.

Katanya, kesemua tahanan direman selama tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.