Batu Puteh: Bantahan lantikan Mohamed Apandi perlu lebih awal

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang bantahan mengenai kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada isu berbangkit berkaitan keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 untuk melantik Mohamed Apandi sebagai Pengerusi PPK memandangkan pertimbangan sewajarnya telah dilaksanakan terhadap keputusan menubuhkan pasukan petugas itu.

Katanya, beliau dan PPK mengambil maklum pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara, pada Selasa.

Wan Junaidi berkata, ini selaras dengan kenyataan Dr Mahathir untuk tidak memberikan kerjasama selagi Mohamed Apandi masih bertindak sebagai Pengerusi PPK.

"PPK hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila kerajaan menarik balik rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ).

"Tun (Dr Mahathir Mohamad) sedia maklum pelantikan Pengerusi PPK dan beliau (Dr Mahathir) sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi (semalam) di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Junaidi berkata, keputusan Dr Mahathir itu amat mengecewakan selain mengejutkan panel penemubual dan perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan bekas Perdana Menteri itu tidak dapat diperoleh PPK.

Menurutnya, PPK dilantik dengan tujuan spesifik meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes itu di ICJ pada 2018.

Artikel Berkaitan:

"PPK telah menjalankan tugas selama tujuh bulan sehingga laporan interim dan laporan akhir siap, serta sedang menyediakan tindakan susulan.

"Adalah mustahil untuk saya bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi bagi mengeluarkan Mohamed Apandi sebagai pengerusi apabila Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pelantikan beliau,” katanya.

Menteri itu menegaskan PPK tetap meneruskan komitmen dan tanggungjawab menghasilkan laporan akhir seperti yang dirancang selaras dengan tujuan penubuhannya untuk meneliti hala tuju berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. - Bernama