Perumahan mampu milik kekal tinggi dalam agenda Malaysia

Program perumahan yang mencukupi dan mampu milik di Malaysia telah diwujudkan dan diberi keutamaan sejak 1970-an dan ia kekal tinggi dalam agenda negara. - Foto Bernama
Program perumahan yang mencukupi dan mampu milik di Malaysia telah diwujudkan dan diberi keutamaan sejak 1970-an dan ia kekal tinggi dalam agenda negara. - Foto Bernama
A
A
A

KATOWICE - Program perumahan yang mencukupi dan mampu milik di Malaysia telah diwujudkan dan diberi keutamaan sejak 1970-an dan ia kekal tinggi dalam agenda negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pada sesi meja bulat menteri Forum Bandar Sedunia ke-11 (WUF11) di sini pada Selasa, Reezal Merican berkata, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara Malaysia menyaksikan kira-kira 500,000 rumah mampu milik akan dibina menjelang 2025.

Beliau berkata, kementeriannya juga menubuhkan satu jawatankuasa pada 17 November tahun lepas untuk menyelaras pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu dari 2021 hingga 2025.

Jawatankuasa itu katanya, akan memantau pelaksanaan dan penyediaan bekalan rumah oleh 15 agensi pembekalan perumahan selain kementerian, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Reezal Merican pada sidang meja bulat itu turut mengambil peluang berkongsi mengenai HOPE atau Program Pemilikan Rumah yang diterajui kementeriannya dengan pendekatan yang dipandu oleh lima prinsip asas iaitu ketersediaan, kemampuan, kebolehcapaian kepada kewangan, kualiti dan kebolehhidupan.

Bagi memastikan pembandaran yang lestari dan inklusif, Reezal Merican berkata, Malaysia telah memperkenalkan dan melaksanakan beberapa dasar alam sekitar dan sosial yang melangkaui daripada peringkat nasional dan subnasional ke tempatan.

Ia merangkumi Dasar Perbandaran Negara yang digubal pada 2006 bagi membantu kerajaan tempatan menetapkan hala tuju untuk perancangan dan pertumbuhan bandar di Malaysia.

"Kami membayangkan ‘Liveable Malaysia’ atau Malaysia Berdaya Huni, sebuah negara yang maju dari segi ekonomi sambil membolehkan persekitaran berkembang maju dan rakyat Malaysia makmur,” katanya.

Reezal Merican dalam pada itu mengakui, mengatasi kemiskinan bandar adalah perjuangan yang sukar dan usaha untuk menangani masalah itu di Malaysia melangkaui pembangunan ekonomi.

"Ia termasuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup kumpulan berpendapatan rendah. Akses kepada pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, taraf hidup dan pendapatan lebih baik adalah antara dimensi utama dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Malaysia,” katanya.

WUF telah dimulakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 untuk mengkaji satu daripada isu paling mendesak yang dihadapi dunia hari ini iaitu pembandaran pesat dan kesannya terhadap masyarakat, bandar, ekonomi dan perubahan iklim.

Dianjurkan dan diadakan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), forum berkenaan merupakan antara perhimpunan antarabangsa yang paling inklusif mengenai isu-isu bandar yang menghimpunkan wakil kerajaan negara, wilayah dan tempatan, ahli akademik, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, perancang bandar dan wakil masyarakat awam. - Bernama