Malaysia raih jualan RM158.7 juta di Marche Du Film

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyertaan delegasi Malaysia di pasaran filem antarabangsa terbesar dunia, Marche Du Film, di Cannes, Perancis bulan lepas membuahkan hasil memberangsangkan apabila berjaya memperoleh hasil keseluruhan nilai jualan sebanyak RM158.7 juta, melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM50 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, nilai jualan itu merangkumi potensi jualan dan jualan yang telah dimuktamadkan.

"Ini membuktikan bahawa industri kreatif tempatan sememangnya mempunyai nilai pasaran tersendiri jika semua pihak (kerajaan dan swasta) berganding bahu dalam meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat global," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 hingga 25 Mei lepas.

Delegasi Malaysia terdiri daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku urusetia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Annuar berkata, kerajaan dan 13 syarikat tempatan merangkumi penerbit filem, pembekal khidmat produksi, penyelia fasiliti penggambaran dan syarikat animasi turut mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka dengan syarikat serta badan terkemuka dunia seperti Warner Brothers, Sony Pictures, Netflix, BBC dan Canal+.

"Bagi mengetahui cara dan pendekatan terbaik untuk produk kandungan Malaysia mendapat pengiktirafan di festival atau pasaran antarabangsa, delegasi turut bertemu penganjur festival dan pasaran filem antarabangsa seperti Marche Du Film, Busan Film Festival, Udine Film Festival, FOCUS Location Expo dan American Film Market," katanya.

Selain itu, beliau berkata, penganjuran forum antarabangsa 'Malaysia - The Heartbeat of Asia' turut membuka laluan mempromosi Malaysia sebagai hab penggambaran antarabangsa dengan penawaran rebat tunai sehingga 35 peratus melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sebagai daya penarik utama.

"Semua ini membuktikan pihak kerajaan amat menyokong dan penuh komited dalam membangunkan ekosistem industri kreatif Malaysia di taraf antarabangsa," katanya.