ʻDaripada gred T ke Aʼ

Nur Qamarina (kiri) dan Nur Adeela menunjukkan slip keputusan SPM mereka.
Nur Qamarina (kiri) dan Nur Adeela menunjukkan slip keputusan SPM mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu berkenaan dua pelajar diberikan gred T iaitu Tidak Hadir bagi subjek Bahasa Melayu dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun hadir menduduki peperiksaan akhirnya berjaya diselesaikan.

Perkara tersebut disahkan oleh Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, 49, iaitu ibu kepada salah seorang bekas pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 3, Selangor yang berdepan masalah tersebut.

Beliau memaklumkan, anaknya, Nur Adeela Huda Muhammad Azmil mendapat keputusan cemerlang dengan A- manakala rakannya Nur Qamarina Munirah Mustaqim mendapat A bagi subjek itu.

“Alhamdulillah perkara ini diambil tindakan dengan segera. Kedua-dua mereka berasa lega mendapat tahu keputusan penuh mereka. Tambah gembira apabila kedua-duanya mendapat A dalam subjek ini.

“Terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Sabtu, dua pelajar mempersoalkan tindakan Lembaga Peperiksaan yang memberikan gred T dalam keputusan SPM mereka bagi subjek Bahasa Melayu meskipun menduduki peperiksaan terbabit.

Gred T yang diperoleh itu menyukarkan kedua-dua remaja tersebut untuk membuat permohonan memasuki universiti berikutan Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus.

Namun demikian, perkara itu telah mendapat perhatian daripada KPM dan Lembaga Peperiksaan yang telah menghantar e-mel bagi meminta mereka mengambil slip SPM yang baharu di sekolah pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nurul Shahnaz berkata, hasil keputusan itu, dia dan rakannya sudah boleh membuat permohonan untuk ke universiti dengan lebih banyak pilihan.

“Oleh kerana keputusan ini dapat tahu awal, jadi mereka sempat untuk kemas kini permohonan ke universiti. Untuk mohon ke universiti swasta juga telah dibenarkan,” ujarnya.

Nurul Shahnaz turut mencadangkan agar KPM menilai semula untuk menggunakan sistem penandaan kertas seperti yang digunakan sebelum ini berbanding kaedah secara atas talian.

“Saya rasa tanda melalui fizikal adalah lebih baik agar isu ini tidak berulang lagi. Saya nampak penandaan secara atas talian ada kelemahan yang akhirnya memberi kesan kepada pelajar,” katanya.