Banyak kumpulan WhatsApp undang padah

Pengguna terdedah dengan kecurian data oleh individu tidak dikenali. -Foto 123rf (Gambar kecil: Mazmalek)
Pengguna terdedah dengan kecurian data oleh individu tidak dikenali. -Foto 123rf (Gambar kecil: Mazmalek)
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keghairahan pengguna mewujudkan dan berada di dalam banyak kumpulan aplikasi WhatsApp boleh mengundang padah.

Ketua Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP), Mazmalek Mohamad berkata, ia berikutan pengguna terdedah dengan kecurian data oleh individu tidak dikenali.

"Katakanlah ada 30 kumpulan WhatsApp dan setiap kumpulan mempunyai 512 ahli, bagaimana pengguna itu sendiri mahu melindungi data mereka sedangkan tidak kesemua ahli kumpulan itu dikenali," katanya.

Jelas beliau, nombor telefon bimbit merupakan data peribadi paling berharga dan sangat dikenali oleh scammer.

"Kami khuatir antara banyak kumpulan WhatsApp, nombor telefon kita akan dikongsi kepada siapa?" katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama editor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, nombor telefon bimbit adalah hubungan paling dominan antara kerajaan dan rakyat, perniagaan serta pelanggan dan sebagainya.

"Apabila berlaku kes kecurian data, siasatan JPDP mendapati ia berpunca daripada kumpulan WhatsApp. Ada yang sampai 50 kumpulan dan tidak mengenali ahlinya," katanya.

Mazmalek berkata, kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati sebanyak 98 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi tersebut.

"Jangan sewenang-wenangnya mewujudkan atau terlibat dalam kumpulan WhatsApp yang tidak memberi apa-apa faedah.

"Lagi banyak you create, lebih luas risikonya. Itu yang kita tak berapa gemar sebab kita tak tahu niat orang," katanya.

Ditanya berapa jumlah kumpulan WhatsApp yang ideal, beliau berkata, ia terpulang kepada siapa individu tersebut.