Perak SADC wujudkan Skim Sekuriti Makanan Usahawan

Razman mencuba menuai kenaf yang ditanam di Ladang Intergrasi Lambor di Parit.
Razman mencuba menuai kenaf yang ditanam di Ladang Intergrasi Lambor di Parit.
A
A
A

PARIT - Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bakal mewujudkan Skim Sekuriti Makanan Usahawan bersama usahawan berpotensi untuk mendepani isu sekuriti makanan khususnya di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yahanis Yahya berkata, peruntukan sekitar RM300,000 akan disalurkan untuk pembangunan projek menerusi skim itu.

"Melalui skim ini, pembiayaan projek disalurkan sepenuhnya oleh Perak SADC manakala usaha pertanian akan dijalankan usahawan berkenaan melibatkan tanaman sayur-sayuran di kawasan seluas empat hektar.

"Untuk permulaan, peruntukan itu disalurkan untuk membangunkan tanaman sayur-sayuran di Ladang Intergrasi Lambor dan sekiranya berjaya, ia mampu diaplikasikan di kawasan lain yang sesuai dibangunkan," katanya kepada pemberita di program Ladang Integrasi Lambor yang dilancarkan oleh Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria di Lambor Kiri di sini, pada Selasa.

Menurutnya, program Tanaman Integrasi Lambor seluas 72 hektar itu kini merangkumi tanaman kontan, nanas dan kenaf.

Tambah Yahanis, ia sebahagian fokus bagi memastikan penawaran makanan yang stabil di pasaran domestik.

"Kita menyokong usaha kerajaan negeri untuk sekuriti makanan. Penanaman nanas jenis MD2 dilaksanakan di kawasan seluas 48 hektar manakala 24 hektar pula dikhususkan kepada tanaman kontan yang bakal dimajukan oleh enam pekebun kecil terpilih.

"Bersebelahan kawasan sama turut ditanam kenaf seluas 8.8 hektar," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, konsep ladang integrasi tersebut membuktikan bahawa penanaman kenaf tidak menjejaskan pengeluaran hasil sawit.

"Konsep ini wajar diperkenalkan kepada masyarakat kerana terbukti tanaman itu tidak merencat atau makan baja kelapa sawit malah, kelapa sawit terus membesar, boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tertentu.

"Ladang integrasi akan diperluaskan dengan membuat promosi selain boleh menyumbang pendapatan sementara menunggu sawit dituai," katanya.