Sila log masuk terlebih dahulu.

Saki-baki Geng Tiger dicekup

Azmi (tengah) menunjukkan senapang jenis M4 yang disorokkan dalam sebuah reban ayam pada sidang media di IPK Kuala Lumpur pada Selasa.
Azmi (tengah) menunjukkan senapang jenis M4 yang disorokkan dalam sebuah reban ayam pada sidang media di IPK Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya melumpuhkan 'Geng Tiger' dengan tertangkapnya seorang penjual sayur di Kampung Tumbok, Tanjung Sepat, Selangor disyaki saki-baki sindiket yang terlibat pelbagai kegiatan jenayah termasuk samun dan bunuh pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, lelaki berusia 35 tahun itu merupakan adik kepada salah seorang ahli geng berkenaan yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian tembak menembak di sebuah kondominium di Salak Selatan di sini 18 Jun lalu.

Menurutnya, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sekitar jam 9.30 malam.

"Selepas ditahan, suspek telah mendedahkan maklumat berkenaan tempat penyimpanan senjata api jenis Colt M-4.

"Dipandu arah oleh suspek, polis menemui senjata tersebut dalam sebuah reban ayam di belakang sebuah rumah di Jalan Kampung Tumbok, Tanjung Sepat Selangor.

"Senjata tersebut dipisahkan dan dibalut dengan plastik lut sinar serta surat khabar. Turut ditemui 69 butir peluru jenis 5.56 millimeter (mm)," katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Antara peluru berkaliber 5.56mm yang dirampas oleh pasukan serbuan pada Ahad.
Antara peluru berkaliber 5.56mm yang dirampas oleh pasukan serbuan pada Ahad.

Pada 20 Jun, Sinar Harian melaporkan polis menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 20 Jun.

Artikel Berkaitan:

Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas dua pucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 Compact, sepucuk pistol revolver jenis Smith and Wesson, peluru hidup dan sebutir bom tangan.

Mengulas lanjut Azmi berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan penglibatan geng tersebut dengan kejadian serangan bersenjata dan letupan di dua buah pusat hiburan di ibu negara beberapa tahun yang lalu.

"Senjata itu dipercayai turut digunakan untuk jenayah lain termasuk dadah, samun dan bunuh. Antara tiga senjata api itu, kita percaya ada kaitan kes bunuh tetapi masih dalam siasatan.

"Kita juga percaya mereka ini ada kaitan dengan kongsi gelap dan setakat ini kita dah lumpuhkan kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 10 suspek telah direman di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957, manakala seorang ditembak mati.