Tiga ahli Parlimen UMNO lompat kerana takut disiasat SPRM

Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, tiga ahli parlimen (UMNO) lompat parti kerana takut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, tiga daripada 54 ahli parlimen yang menang, telah lompat parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, beliau berkata, dalam pengetahuannya, ketiga-tiga ahli politik itu mempunyai beberapa kes yang akan disiasat oleh SPRM.

Menurutnya, kemenangan PH dalam PRU14 menyebabkan ramai yang berasa takut dan mahu menyelamatkan diri dengan menyertai Bersatu.

“Individu yang pertama lompat ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah (Melaka), saya difahamkan dia diberi amanah untuk mengendalikan dana PRU termasuk untuk Puteri UMNO, tetapi ia dikeluarkan daripada tabung dan masuk ke akaun lain untuk tujuan peribadi.

“Kedua, menteri yang mewakili kawasan Jeli (Kelantan), sebelum PRU, beliau ialah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan yang mana diamanahkan untuk mengendalikan wang RM30 juta namun ia tidak digunakan untuk urusan logistik bagi pengundi di Lembah Klang,” katanya.

Bagaimanapun, ketika Ahmad Zahid mahu menyatakan nama ahli parlimen ketiga, beliau dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Raja Rozela berkata, Ahmad Zahid tidak boleh mengaitkan penyelewengan dana itu dengan mana-mana pihak kecuali individu itu dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah bersifat ‘dengar cakap’, khabar angin dan tidak boleh diterima.

Seorang lagi peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata,

mahkamah adalah tempat yang tepat untuk anak guamnya bercakap benar bagi membela dirinya.

“Beliau berdepan pertuduhan serius dan mesti diberi ruang untuk membela,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian berkata, memahami isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan dan sama ada ia dibenarkan atau tidak akan ditentukan kemudian.

“Tetapi untuk masa ini saya bersetuju memberikan sedikit ruang kepada mereka (pihak pembelaan) untuk membela diri dengan mengemukakan pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, individu ketiga ialah Ahli Parlimen Bagan Serai yang mana beliau mengetahui bahawa sejumlah peruntukan diserahkan kepada individu berkenaan.

“Saya sendiri lihat peruntukan itu dijalankan oleh adik ahli parlimen berkenaan yang dilantik sebagai pegawai khas.

“Berlaku penyelewengan atas peruntukan parlimen itu dan atas kekhuatiran siasatan dan tuduhan yang akan dikenakan, saya dapat tahu, dia ambil keputusan untuk lompat parti,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bela diri bersambung Rabu.