Husam pertahan penulisan, tegaskan bukan fitnah

Husam sifatkan tindakan saman ke atasnya berkait pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang sebagai pramatang.
Husam sifatkan tindakan saman ke atasnya berkait pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang sebagai pramatang.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa tetap bertegas bahawa tulisan beliau mengenai pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang tidak bersifat fitnah.

Husam melalui kenyataan pada Isnin memaklumkan, akan bertanggungjawab di atas dakwaan dan pertanyaan beliau berkaitan kes kecurian balak di kawasan terbabit yang dikongsi di media sosialnya, termasuk dua laporan yang dirujuk oleh syarikat Al Dar Resources.

"Saya tidak akan berganjak dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan serta memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya memfailkan dua saman terhadap Husam, menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Dua saman itu dibuat oleh Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin yang menuntut ganti rugi RM10 juta.

Tuntutan saman terbabit dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.

Husam berkata, beliau akan memfailkan permohonan mengetepikan saman itu kerana ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan menghalang pendedahan kegiatan kecurian balak di Nenggiri.

Tindakan saman itu juga, tegas beliau, adalah pramatang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas isu tebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri bersebelahan dengan kawasan kerja plaintif adalah belum lagi konklusif.

"Saman ini merupakan satu gangguan terhadap tugas sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi kepentingan awam.

"Sehingga kini kerajaan negeri atau agensinya juga tidak menafikan pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan pemaju Bandar Perabot di mana plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manfaat," katanya.