Husam Musa berdepan saman RM60 juta

Husam
Husam
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berdepan saman RM60 juta kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Writ saman itu dibuat oleh Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemilikya, Mohd Haffiz Mohd Rasdin menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.

Mohd Haffiz (dua dari kanan) memeriksa writ samannya terhadap Husam Musa semasa sidang media di Kota Bharu pada malam Ahad.
Mohd Haffiz (dua dari kanan) memeriksa writ samannya terhadap Husam Musa semasa sidang media di Kota Bharu pada malam Ahad.

Menerusi writ saman itu, Al Dar Resources menuntut ganti rugi RM50 juta manakala Mohd Haffiz menuntut ganti rugi RM10 juta.

Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi berkata, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam menerusi laman Facebook miliknya pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah plaintif.

"Pada 3 Jun lalu, Husam memuat naik kenyataan yang bertajuk “Kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa?”.

"Kenyataan kedua pada 6 Jun yang bertajuk “Kelantan dikuasai gandingan Dua H?Gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YAB Datuk Ahmad Yaakob.

"Pernyataan itu sama sekali tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah sehingga menjatuhkan imej serta reputasi baik anak guam," katanya semasa sidang media di sini pada Ahad.jelasnya.

Azeel Eskandar berkata, menerusi saman yang dikemukakan itu, Al Dar Resouces menuntut ganti rugi RM50 juta iaitu RM10 juta ganti rugi am akibat penerbitan perkataan fitnah dan RM40 juta bagi ganti rugi khas akibat kehilangan pendapatan susulan penerbitan fitnah itu.

"Anak guam kami turut menuntut satu perintah mengarahkan defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan sama ada sendiri atau melalui ejen daripada menerbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula perkataan-perkataan fitnah.

"Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman. Mohd Haffiz pula menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada defendan selain perintah-perintah injunksi sampingan seperti dinyatakan dalam saman berkenaan.

"Kami sudah menghantar notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak mendapat maklum balas sebelum kami memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 dan 22 Jun lalu. Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai depan," katanya.

Sementara itu, Mohd Haffiz menegaskan segala kenyataan yang dikeluarkan Husam adalah tidak benar.

Katanya, syarikat telah mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn Bhd untuk projek mengeluarkan saki-baki kayu dalam kawasan berkenaan bagi penempatan semula Orang Asli.

"Tindakan itu bagi pembinaan hidroelektrik Nenggiri untuk kawasan yang ditenggelamkan. Kelulusan kepada syarikat kami bukan projek pembalakan sebaliknya untuk pembersihan mengeluarkan saki-baki kayu dan pembinaan semula penempatan Orang Asli.

"Saya menegaskan dakwaan yang menyatakan saya dikatakan terbabit dengan pembalakan itu tidak benar. Saya mengeluarkan semua kayu bagi memudahkan pemilik projek menjalankan kerja-kerja mereka," katanya.