'Tak payah umpan PM jadi poster boy PRU15' - Tajuddin

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baru dipecat jawatan parti minggu lalu, menempelak keputusan badan tertinggi parti itu mencalonkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu menggunakan MKT UMNO untuk mengumpan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti, hanya semata-mata untuk menuntut PRU15 diadakan secepat mungkin.

Lebih mengejutkan, taktik mengumpan Ismail Sabri dengan pencalonan 'poster boy' ataupun bakal calon Perdana Menteri UMNO-BN pada PRU15, didakwa Tajuddin sebagai sebahagian usaha Ahmad Zahid untuk jadi Perdana Menteri segera.

"Tidak payah umpan PM (Perdana Menteri) jadi poster boy pilihan raya untuk UMNO-BN. Hakikatnya tawaran sebegitu dibuat supaya Ismail Sabri segera mengadakan pilihan raya.

"Tujuan Zahid tidak lain tidak bukan hanyalah mahu membolehkan beliau pula menjadi Perdana Menteri," ujar beliau dalam satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas punca sebenar beliau dipecat daripada jawatan ahli MKT UMNO pada Rabu minggu lalu.

Berikutan keputusan pemecatan itu, Ahmad Zahid mendedahkan Tajuddin dipecat disebabkan beberapa kenyataan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu yang dianggap bertentangan dengan keputusan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjelaskan keputusan pemecatan Tajuddin untuk digantikan dengan bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, adalah bertujuan membolehkan pemimpin veteran parti itu fokus kepada jawatan baharu sebagai Duta Khas Malaysia ke Indonesia.

Mengulas lanjut, Tajuddin turut mendedahkan Ahmad Zahid sudah memulakan gerakan untuk mengatur peletakan calon-calon pilihan raya yang dianggap cenderung menyokong beliau menjelang PRU15 yang hampir menjelang tiba.

Lebih menarik, Tajuddin mendakwa gerakan itu merupakan sebahagian rancangan Ahmad Zahid untuk menawarkan dirinya sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO-BN menang pilihan raya umum akan datang.

"Bahkan di kawasan Parlimen saya, Pasir Salak sendiri pun, Zahid difahamkan sudah mengatur orang-orang tertentu untuk bertanding di situ. Saya tidak kisah sebab saya pun sudah empat penggal jadi wakil rakyat di situ.

"Bahkan sekarang Zahid juga sudah mengugut ketua-ketua UMNO bahagian agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan (mengkritik parti).

"Hal ini kerana selaku Pengerusi BN, beliau ada kuasa menandatangani watikah pelantikan calon PRU dan mana-mana ketua UMNO bahagian yang menentang, berkemungkinan tidak akan tercalon kelak," luah Tajuddin lagi.

Tajuddin menambah, beliau tidak takut dipecat UMNO sekali lagi sekiranya tindakan pendedahannya terhadap 'tembelang' Ahmad Zahid bakal mengundang padah.

Ujarnya, beliau pernah dipecat parti oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1995, namun akhirnya pemimpin yang memecatnya itu menerima padah lebih besar.

"Saya dipecat Anwar pada tahun 1995 atas dakwaan hendak lawan bekas Menteri Besar Perak pada ketika itu.

"Namun akhirnya saya diterima semula menjadi ahli, tetapi Anwar dipecat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan keahlian UMNO," katanya.