Tajuddin jawab isu pemecatan MKT UMNO petang ini

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas digugurkan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis lalu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman buat pertama kalinya bakal membuka mulut bagi menjawab persoalan mengenai perkembangan tersebut.

Ahli Parlimen Salak itu dijadualkan mengadakan sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya pada jam 3 petang ini.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pemecatan Tajuddin itu dilakukan kerana sikap pemimpin itu yang didapati mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang medianya selepas Mesyuarat MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam Jumaat berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada Tajuddin untuk bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Kekosongan ditinggalkan oleh Tajuddin itu juga telah diisi oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pada Jumaat.