Tajuddin boleh tumpu tugas sebagai duta besar: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membolehkan beliau memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, secara peribadi beliau berpendapat keputusan yang dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu membuka peluang kepada Tajuddin untuk menumpukan sepenuh masanya sebagai duta besar.

"Kerja sebagai ahli MKT apabila hampir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dia (kena kerja) sepenuh masa, mungkin MKT diminta meneliti banyak perkara dalam biro tertentu. Ini strategi parti yang memerlukan (komitmen) sepenuh masa.

"Oleh itu, bagaimana Tajuddin nak (tumpukan) sepenuh masa sebagai duta dan MKT? Tentu ia menyukarkan tugas beliau," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian 'Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair 2022' yang disempurnakan Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perlucutan jawatan Tajuddin sebagai ahli MKT berkuatkuasa Selasa lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, keputusan berkenaan juga untuk berlaku adil kepada Tajuddin.

"Amanah kepada negara paling utama dan pertama, lebih-lebih lagi Indonesia negara sangat penting, jiran kita terdekat dan hubungan perlu diakrabkan serta (kalau boleh) tidak mahu diganggu dengan tugas sebagai ahli MKT.

"Itu pandangan saya yang ikhlas. Kita ucap terima kasih atas khidmat beliau selama ini dalam MKT yang dilantik presiden dan mendoakan beliau menjalankan tugas terbaik dan cemerlang sebagai duta besar," ujarnya.

Ahmad berkata, secara peribadi juga, beliau berpandangan bahawa apa yang diputuskan Ahmad Zahid merupakan hak presiden kerana dalam perlembagaan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan boleh melantik calon yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, UMNO masih menanti kelulusan pindaan perlembagaan parti itu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Segala dokumen tambahan yang mereka inginkan kita dah berikan dan apabila saya tanya sama ada masih ada lagi dokumen tambahan diperlukan, mereka kata dah lengkap.

"Jadi kita menunggu dengan penuh sabar apakah keputusan RoS. Jika kita melihat MCA, pindaan dibuat parti itu lebih kurang pindaan sama dengan kita. (Pindaan perlembagaan) MCA dah diluluskan oleh RoS, bererti RoS dah ada duluan keputusan dan (sudah pasti) tidak terlalu sukar untuk mereka buat keputusan terhadap permohonan UMNO," katanya.