X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Tajuddin digugurkan dari MKT kerana kritik parti: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian 'BN Youth Job Fair 2022' di WTC KL, pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO disebabkan sikap beliau yang mengkritik parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kritikan itu dibuat menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan secara terperinci punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipecat.

"Saya fikir tanya beliau sendiri, itulah sebaiknya. Tidak adil untuk saya memberitahu mengenai kenapa tetapi tentunya beliau mengetahui apa yang beliau lakukan.

"Kena tanya beliau sendiri apa kenyataan beliau telah buat, apakah ucapan beliau atau ceramah dalam mesyuarat tertutup. Tanya beliau sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan 'Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair 2022' di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu.

Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga kerap kali dilihat bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kuasa pelantikan ahli MKT adalah mengikut perlembagaan di bawah kuasa presiden parti.

"Saya berpendirian bahawa mana-mana ahli MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti, bukan sahaja apa yang telah menjadi ketetapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) atau Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) apatah lagi ketika menjadi sebahagian anggota MKT.

"Suatu ketetapan harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat dalam perbincangan atau mesyuarat tetapi jika sesuatu keputusan itu telah dibuat, ia merupakan keputusan parti. Kita kena ikut apa diputuskan parti bukan sebaliknya," ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, dalam hal itu beliau sangat berlapang dada dan terbuka jika secara peribadi pendiriannya tidak dipersetujui.

"Namun apabila keputusan parti telah dilakukan maka kita harus menerima apa sahaja keputusan yang dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti," jelasnya.

Ditanya sama ada Tajuddin boleh membuat rayuan, Ahmad Zahid memberitahu, hanya rayuan untuk keahlian parti boleh dilakukan dan bukan rayuan untuk sesuatu jawatan yang telah dilantik.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO akan mengadakan Mesyuarat MKT pada jam 8 malam, Jumaat untuk membincangkan isu-isu penting terutama mengenai keputusan yang dicapai dalam PAU dan ketetapan dalam PAU Khas.

"Malam ini MKT akan bersidang dan tentunya banyak perkara yang perlu kita bincangkan termasuk keputusan-keputusan diambil di peringkat tertinggi kepimpinan. Kuasa tertinggi dalam UMNO ialah PAU, jika PAU telah tamat dan berlalu maka kuasa itu berada di dalam MKT.

"Kita tahu bahawa PAU lalu telah mengambil keputusan dan ketetapan bahawa 'Top 5' diberi mandat untuk menentukan perkara-perkara yang berkaitan dengan beberapa langkah politik maka dalam hal ini mesyuarat malam ini menjadi penting," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!