Sila log masuk terlebih dahulu.

Isu kos sara hidup rakyat terus dibahas

Cadangan harga siling baharu ayam antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram disifatkan adil bagi pengusaha ayam setelah mengambil kira pelbagai faktor. - Foto Bernama
Cadangan harga siling baharu ayam antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram disifatkan adil bagi pengusaha ayam setelah mengambil kira pelbagai faktor. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kos sara hidup rakyat terus menjadi topik utama paparan berita semasa semalam.

Harga siling ayam yang disebut berpotensi sebagai kayu pengukur penentuan harga barangan lain di pasaran antara yang diberi perhatian.

Cadangan harga siling baharu ayam yang ditetapkan ialah antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram.

Perkara itu disuarakan oleh para penternak selepas kerajaan menarik semula keputusan pengapungan harga ayam dan akan menetapkan harga siling baharu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Idrus Zainal Abidin, harga berkenaan adalah harga siling maksimum yang adil bagi pengusaha ayam setelah mengambil kira pelbagai faktor.

“RM10.50 adalah harga ‘nyaman’ bagi persatuan. Ini diambil kira bersama faktor kenaikan harga pendedak," katanya semalam.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan bahawa kerajaan tidak membuat pusingan U berhubung pengumuman tidak akan mengapungkan harga ayam di pasaran.

Sebaliknya, keputusan dibuat berdasarkan pandangan pihak berkepentingan terutamanya seluruh Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilapor memberi saranan kepada kerajaan agar melaksanakan dasar stok penimbal (Stockpile) serta merombak semula seluruh struktur kementerian dan agensi bertanggungjawab.

Katanya, konsep ekonomi yang telah teruji dan digunakan sejak krisis makanan dan kos sara hidup pada 1970-an itu sebagai penyelesaian krisis kelangsungan makanan dan kos sara hidup yang naik mendadak selain mengelakkan karenah birokrasi.

Turut digesa supaya sebuah Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan, seperti fungsi National Commission on Supplies and Shortages di Amerika Syarikat ditubuhkan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi tujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan dan kenaikan mendadak harga makanan.

"Suruhanjaya ini perlulah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipantau sekeras-kerasnya untuk mengelakkan peruntukan membina stok penimbal disalahgunakan oleh unsur-unsur rasuah," katanya semalam.

Mengenai rombakan struktur kementerian, Rafizi berkata, kuasa dan tanggungjawab yang menggubal, melaksana, menyelia dan menguat kuasa dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan sepatutnya dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

Sementara itu, cadangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz supaya gaji dan elaun menteri dan timbalan menteri dipotong sebanyak 20 peratus juga terdapat perkembangan positif.

Ini apabila semakin ramai menteri dan timbalan menteri sahut cadangan tersebut.

Pemotongan itu sebagai empati terhadap rakyat Malaysia yang bergelut dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan krisis Ukraine-Rusia.

Perkembangan mengenai isu berkaitan sara hidup rakyat dijangka terus mendapat perhatian hari ini.