Malaysia hargai bantuan UK tangani isu Rohingya

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman bersama sebahagian rakyat Malaysia ketika hadir pada sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada Khamis malam. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman bersama sebahagian rakyat Malaysia ketika hadir pada sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada Khamis malam. - Foto Bernama
A
A
A

LONDON – UNITED KINGDOM . Malaysia menghargai bantuan United Kingdom yang memberikan bantuan termasuk kewangan dalam menangani isu-isu melibatkan pelarian Rohingya. kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata bantuan kewangan yang diberikan United Kingdom itu bagi membiayai program-program kemanusiaan, pendidikan dan kesihatan di Malaysia serta pengendalian hospital medan di Cox Bazar di Bangladesh

“Saya berterima kasih kepada United Kingdom untuk membantu pelarian Rohingya yang kini mencecah 100,000 orang (di Malaysia),” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi sulung Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom, Khamis malam.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah mengadakan perbincangan bersama Menteri Luar Negeri dan Komanwel United Kingdom (UK) (United KIngdom Secretary of State for Foreign and Commonwealth Affairs) Jeremy Hunt, yang berkisar mengenai hubungan dua hala antara Kuala Lumpur-London.

Dalam pertemuan 30 minit, yang berlangsung dalam suasana baik dan mesra di Foreign and Commonwealth Office (FCO), Dr Wan Azizah diiringi Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pegawai tinggi Kementerian Luar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengenai isu pelarian Rohingya, Dr Wan Azizah berkata bantuan kewangan daripada UK melegakan kerajaan Malaysia yang membelanjakan kira-kira RM10 juta setahun bagi menangani masalah pelarian etnik itu.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai bantuan dan jumlah wang yang diberikan United Kingdom.

Semasa pertemuan dengan Hunt, Dr Wan Azizah berkata mereka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu hubungan dua hala, serantau dan global.

Artikel Berkaitan:

“Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai cadangan lawatan Jeremy Hunt ke Malaysia pada awal tahun depan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata hal lain yang turut diperbincangkan adalah mengenai kerjasama dalam sektor pelancongan, pemasaran kelapa sawit di Eropah dan isu senjata kimia.

Dalam isu pemasaran kelapa sawit, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah meminta kerajaan UK untuk menyokong industri kelapa sawit Malaysia, susulan timbulnya isu dalam pemasaran kelapa sawit di dunia dan UK.

“He said that he is willing to (take) note about it and he understand that Malaysia wants to promote our palm oil,” she said (“Katanya, beliau sanggup untuk (ambil) perhatian mengenainya dan beliau faham bahawa Malaysia mahu mempromosi minyak sawit kita,” kata Wan Azizah).

Dr Wan Azizah berkata pihak UK telah meminta agar Malaysia menyokong pelaksanaan keputusan berdasarkan perundangan oleh Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) dalam isu membanteras penggunaan senjata kimia. – Bernama