Suami isteri maut motosikal berkuasa tinggi rempuh MPV

Pasangan suami isteri maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, di Dungun pada Sabtu. - Foto ihsan polis
Pasangan suami isteri maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, di Dungun pada Sabtu. - Foto ihsan polis
A
A
A

DUNGUN - Sepasang suami isteri maut setelah motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki warga China di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, di sini, pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.18 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd Abdika Razali, 36, dan isterinya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang menaiki motosikal berkuasa tinggi, Aprilia RSV4 dikatakan dalam perjalanan pulang dari menyertai perhimpunan motosikal di Kuala Terengganu menuju ke rumah mereka di Kampung Pengkalan Binjai, Kemaman.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Innova dipandu lelaki warga China berusia 34 tahun dari arah Tanjung Jara menghala ke Kuala Terengganu telah keluar dari simpang dan memberhentikan kenderaan di tengah simpang jalan.

"Sebaik tiba di lokasi itu, motosikal berkenaan gagal mengelak lalu melanggar sisi sebelah kanan MPV berkenaan.

"Rempuhan itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan tercampak beberapa meter," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.