Jangan buat pembelian panik, bekalan ayam, telur dan minyak masak cukup

Norehan (kanan) ketika membuat pemeriksaan bekalan ayam di sebuah pasar raya di Port Dickson pada Sabtu.
Norehan (kanan) ketika membuat pemeriksaan bekalan ayam di sebuah pasar raya di Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik terhadap bekalan ayam, telur ayam dan minyak masak bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan makanan secara tiba-tiba.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Port Dickson, Norehan Rosli berkata, orang ramai disarankan membuat pembelian secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

"Kami sentiasa membuat pemeriksaan harian di seluruh Port Dickson dan Rembau bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi.

"Ia termasuk memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian dengan harga munasabah selain tiada unsur pencatutan oleh peniaga dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa pemeriksaan Ops ATM (ayam, telur ayam dan minyak masak) di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norehan berkata, berdasarkan rekod bermula 1 Januari sehingga Jumaat, pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap 5,323 premis.

"Sebanyak 61 kompaun bernilai RM9,900 dikeluarkan sejak 5 Februari lepas susulan penguatkuasaan penentuan harga maksimum bagi ayam dan telur.

"Sehingga kini, hanya terdapat dua aduan yang diterima kami berkaitan kenaikan harga ayam, namun tiada aduan direkodkan bagi ketiadaan bekalan ayam," katanya.

Tambah Norehan, pihaknya juga akan melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan kenaikan harga yang tidak munasabah di sesebuah premis.

"Siasatan itu akan melibatkan semakan terhadap harga bahan mentah dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar serta pemborong.

"Tindakan sewajarnya akan diambil jika peniaga didapati bersalah mencatut seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Sementara itu, Norehan turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan aduan lengkap berhubung salah laku peniaga melalui saluran yang telah ditetapkan KPDNHEP antaranya WhatsApp 019-2794317/019-8488000, call centre 1-800-886-800 atau mobile app Ez ADU KPDNHEP.