Sila log masuk terlebih dahulu.

Isham sahkan dipanggil ke mesyuarat MKT malam ini

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mengesahkan menerima jemputan bagi menghadiri mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat, Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengesahkan kehadirannya ke mesyuarat berkenaan yang akan diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

“Saya sudah dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa saya dijemput untuk menghadiri sesi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di WTC (Menara Dato' Onn) pada malam ini.

“Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir,” katanya.

Mesyuarat MKT itu dilaksanakan selepas desas desus menyatakan kemungkinan pelantikan Isham sebagai ahli MKT baharu.

Pada Khamis, media melaporkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah digugurkan sebagai Ahli MKT.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berkata, pemecatan itu dilakukan kerana sikap Ahli Parlimen Pasri Salak itu yang didapati mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Dalam pada itu, Isham tanpa memberikan sebarang gambaran berkenaan tujuan mesyuarat itu memaklumkan beliau bersedia untuk memberikan khidmatnya kepada parti.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai ahli UMNO dari akar umbi, saya akan bantu parti dengan apa yang termampu untuk kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.

Barisan Nasional (BN) Selangor baru-baru ini menggugurkan Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, Presiden parti mempunyai kuasa untuk melantik 13 orang Ahli MKT termasuk Setiausaha Agung, Ketua Penerangan serta Bendahari UMNO.