Cabaran besar menanti barisan kepimpinan baharu KOM

Laporan Sukan Sinar pada 13 Jun lalu.
Laporan Sukan Sinar pada 13 Jun lalu.
A
A
A

BARISAN kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) diketuai Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula maruah sukan trek dan balapan negara yang suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Itu pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa sambil menyifatkan persiapan kem olahraga negara perlu mantapkan untuk beberapa temasya seperti Sukan SEA Kemboja 2023.

Selain itu jelas Mohd Sadek, tumpuan untuk jangka pendek juga meliputi Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan persediaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah Mohd Sadek juga mengakui kebimbangannya sekiranya tiada usaha segera dilakukan tidak mustahil berkemungkinan Malaysia lenyap dari peta sukan trek dan balapan bermula dengan pentas Asia Tenggara.

Tegasnya, kepimpinan baharu perlu melakukan transformasi menyeluruh bagi merancakkan kembali komuniti trek dan balapan negara yang cukup terkesan selepas kurangnya acara selama dua tahun berikutan dihimpit pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejujurnya banyak kerja perlu dilakukan KOM kerana kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada atlet senior dalam menyumbangkan pingat seperti di Sukan SEA Hanoi 2021 untuk Sukan SEA Kemboja 2023 selepas beberapa negara yang dulu berada di bawah kita kini telah mula ke hadapan dengan para atlet muda masing-masing.

“Pada saya terdapat kelompangan ketara pada peringkat akar umbi dan pelapis Podium selepas ketiadaan Sukan Malaysia hampir empat tahun yang menyaksikan ketandusan 'pool' yang besar bagi pembekalan atlet-atlet.

“Ketiadaan pentas ujian untuk atlet berbakat di peringkat akar umbi sejak kali terakhir Sukma Perak 2018, sebenarnya amat merugikan buat industri sukan negara apabila potensi dalam kalangan mereka terbiar begitu sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Mohd Sadek
Mohd Sadek

Untuk rekod, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan kembali memimpin KOM selepas 10 tahun selepas menewaskan penyandang Presiden, Datuk SM Muthu dengan perbezaan empat undi selepas memenangi pemilihan jawatan presiden pada Ahad.

Pada pemilihan penggal 2022-2025 di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs), mendapat 20 undi berbanding Muthu yang mendapat 16, manakala seorang lagi calon Nur Hayati Karim menarik diri.

Shahidan sebelum ini sebelum ini penah dipilih mengemudi KOM dari 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Pada masa sama, Mohd Sadek menyarankan KOM memperkasakan kerjasama pintar dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan lebih ramai atlet menerusi program di bawah dua kementerian tersebut.

“Penganjuran program menerusi kerjasama pintar KOM, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi sebenarnya dapat merancakkan lagi perkembangan bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi.

“KOM sebenarnya memiliki banyak bakat baharu peringkat akar umbi yang perlu lebih agresif dicungkil menerusi penganjuran pelbagai acara. Apabila banyak bakat baharu dapat ditampilkan secara tidak langsung dapat menarik lebih banyak penajaan terhadap persatuan.

"Pada masa sama KOM perlu juga melibatkan semua pihak yang berkaitan dengan industri dalam merancakkan kembali arena trek dan balapan negara," katanya.

Mohd Sadek turut menyarankan KOM menyediakan blue print yang realistik dalam memastikan hala tuju barisan baharu KOM memberi impak dalam tempoh empat tahun ini.

Jelasnya, KOM lebih berhati-hati dalam pemilihan pegawai atau jurulatih dalam melaksanakan program pembangunan supaya impak keberhasilannya tidak hanya diraih persatuan tetapi juga negara secara keseluruhan.

"Apabila melakukan scouting sewajarnya dilakukan secara bersama bagi memastikan setiap pegawai atau jurulatih yang diambil mampu membuktikan keupayaan masing-masing dalam memartabatkan semula arena trek dan balapan negara, bukan sekadar penumpang.

"Kita tentunya tidak mahu pegawai atau jurulatih yang diambil tidak dapat menghasilkan keputusan yang membanggakan negara selepas dibayar dengan gaji yang lumayan.

"Jadi ini antara perkara yang perlu dilihat semula KOM dalam memastikan misi mengangkat semula maruah arena trek dan balapan berjaya direalisasikan.

“Bagi penyertaan atlet-atlet ke kejuaraan dalam dan luar negara perlu dilakukan menerusi analisis data bukan lagi atas pilihan tertentu bagi membolehkan yang benar-benar layak menggalas cabaran negara," katanya.