Guru sambut baik kaji semula cuti hujung minggu

Norlizah Noh
Norlizah Noh
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Langkah kerajaan negeri mengkaji semula cuti mingguan di Johor yang ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu mendapat reaksi positif dari guru.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, apa pun keputusan kelak, ia diharap tidak dilaksanakan tahun ini kerana dikhuatiri akan mengganggu takwim sesi persekolahan di Johor.

"Di peringkat pendidikan, majoriti daripada 44,920 guru di sekolah rendah dan menengah bersetuju agar penetapan hari cuti hujung minggu di negeri ini dikaji semula.

"Mereka turut membangkitkan kegelisahan mengenai ketidakhadiran pelajar pada hari Ahad yang merupakan hari persekolahan di negeri ini.

"Isu ini berlaku didakwa berlaku apabila cuti persekolahan yang panjang, di mana ramai pelajar tidak ke sekolah pada hari Ahad selepas cuti berakhir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, pada Rabu.

Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Johor Lama berkata, perbincangan perlu diadakan dengan semua pihak di setiap peringkat bagi memastikan keputusan dibuat kelak dapat memberi manfaat kepada rakyat.

"Sudah tentu kajian semula hari cuti hujung minggu ini penting kepada produktiviti bersama keluarga, ekonomi dan pendidikan.

"Saya percaya takwim sesi persekolahan di negeri ini sudah dibuat sehingga hujung tahun ini. Seeloknya dibuat pada tahun hadapan kerana khuatir mengganggu takwim persekolahan pada tahun ini.

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Beliau dilaporkan berkata, kajian itu akan dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan kaum lelaki beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor sebelum itu juga pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri terbabit.