Budak mangsa dadah sudah sedarkan diri, bernafas tanpa bantuan mesin

Rohaya (kiri) menerima kurniaan daripada Raja Perempuan Tengku Anis yang disampaikan oleh Muhamad Zaki (dua dari kanan) dan Suzana (kanan) di HRPZ II, Kota Bharu pada Rabu.
Rohaya (kiri) menerima kurniaan daripada Raja Perempuan Tengku Anis yang disampaikan oleh Muhamad Zaki (dua dari kanan) dan Suzana (kanan) di HRPZ II, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menjadi mangsa dadah sudah sedarkan diri dan mampu bernafas tanpa bantuan mesin.

Ibunya, Rohaya Hasan, 36, berkata, pada pagi Rabu anaknya sudah kembali normal dan boleh menggerakkan keseluruhan anggota badan.

"Alhamdulillah anak sudah kembali ceria dan boleh makan seperti biasa.

"Dalam masa terdekat, saya diberitahu anak akan dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk meneruskan rawatan lanjut," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Muhamad Zaki mewakili Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengurniakan sumbangan kepada Rohaya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Rabu.

Rohaya berkata, pertukaran tempat rawatan akan memudahkan urusan penjagaan anaknya kerana lokasi itu berdekatan dengan rumah.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, kurniaan itu merupakan tanda simpati Raja Perempuan Tengku Anis terhadap Rohaya dan anaknya.

"Kurniaan sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban keluarga Rohaya," katanya.