X

Kindly register in order to view this article
!

Bukit Golan: Negara Islam perlu sepakat tolak tindakan Trump

Bukit Golan. - Foto sumber internet. (Gambar kecil: Mohd Azmi)
A
A

SHAH ALAM - Semua negara Islam perlu bangkit bersatu dan sepakat menolak tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengisytiharkan Bukit Golan di Syria sebagai milik Israel.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah berkenaan perlu diambil supaya dapat memberi isyarat yang jelas kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang pengisytiharan tersebut.

Menurutnya, umat Islam seluruh dunia pula harus bertegas dan membantah keras terhadap tindakan mana-mana pihak terutama Israel untuk menceroboh negara Islam yang berdaulat.

“Syria adalah sebuah negara berdaulat dan telah diiktiraf seluruh dunia malah berdasarkan undang-undang antarabangsa, sesuatu wilayah itu tidak boleh digugat oleh mana-mana negara walaupun negara itu dijajah sekali pun tetapi kawasan dan sempadan tidak boleh diubah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Malaysia tidak menerima keputusan AS yang mengiktiraf pendudukan secara haram dan tidak sah tanah dimiliki negara berdaulat.

Pada 26 Mac lalu, Trump telah menandatangani dokumen pengiktirafan sambil disaksikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun pengisytiharan tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang mendakwa Trump sengaja membiarkan rejim Zionis melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pengisytiharan Trump adalah satu pengisytiharan yang bertentangan dengan keputusan antarabangsa.

“Kalau dahulu Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tapi kali ini mengisytiharkan pula Bukit Golan sebagai sebahagian daripada Israel.

“Kedua-duanya itu adalah bertentangan dengan keputusan antarabangsa sama ada PBB mahupun Majlis keselamatan PBB,” katanya.

Mohd Azmi turut mempersoalkan tentang hak Trump untuk mengisytiharkan kedudukan sempadan sesebuah negara.

“Bolehkah sebuah negara asing tiba-tiba mengiktiraf sempadan sebuah negara yang tidak ada kena mengena dengannya?

“Jadi ini menunjukkan bahawa Israel dan AS bersekongkol serta sangat jelas mereka sama sekali tidak mempedulikan hak negara lain dan hak rakyat sesuatu tempat,” katanya.

Jelas beliau, pengisytiharan Trump itu dijangka akan merumitkan lagi konflik yang sedang berlaku di Syria sekali gus mengancam proses perdamaian di wilayah Asia Barat dan Timur Tengah.

“Jelas Amerika Syarikat nampaknya campur tangan secara terang-terangan untuk mengancam Syria, sedangkan Syria sudah didokong oleh keputusan antarabangsa 1967, bahawa Bukit Golan adalah dalam wilayah Syria.

“Trump dan Israel sebenarnya mahu meneruskan konflik ini untuk kepentingan mereka terutama dalam hal industri ketenteraan dan ini akan menjadi alasan untuk negara terlibat perang untuk terus membeli senjata daripada mereka," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!