Bekas banduan mengaku salah pecah masuk rumah, ambil dadah

Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada Selasa.
Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Seorang bekas banduan mengaku salah di Mahkamah Majistret Marang di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan memecah masuk rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu dalam kejadian pada bulan Jun dan Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Fahmy Osman, 29, membuat pengakuan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecah masuk rumah dan mencuri dua bentuk cincin emas serta wang tunai RM3,020 di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, di Hulu Terengganu kira-kira jam 7. 30 pagi pada 9 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di dakwa memecah masuk rumah dan mencuri tiga utas gelang emas, tiga loket emas, lima bentuk cincin dan wang tunai RM1,000 di Kampung Butut, Kuala Berang, di Hulu Terengganu kira-kira jam 1 pagi pada 28 Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memecah masuk rumah dan mencuri tiga utas gelang emas, tujuh utas rantai emas, 11 bentuk cincin emas, lapan 'bead' dan 'charms' emas pelbagai bentuk, sebentuk loket emas dan wang tunai RM1,000 kira-kira jam 1 pagi di Kampung Pauh, Kuala Berang di Hulu Terengganu pada 2 Jun lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku salah bagi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,800 oleh seorang penjamin dan menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukuman di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Superintendan Othman Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Aziah Munawan dan Siti Mastura Amirah Mohd dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).