'Kenyataan Nazri hina sektor pelancongan, badan sukarelawan' - MCA

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan bencana banjir dijadikan tarikan pelancong baru-baru ini telah menghina sektor pelancongan, badan sukarelawan termasuk mangsa terjejas terutamanya mereka yang dipindahkan.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Lau Chin Kok berkata, tiada apa yang perlu diraikan mengenai banjir yang berlaku secara tahunan di negara ini.

Beliau turut mempersoal tindakan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu yang mengeluarkan kata-kata tidak sensitif terutama kepada penduduk yang kehilangan harta benda dan nyawa akibat banjir.

"Masa, tenaga, sumber diperlukan apatah lagi risiko kepada kesihatan dan keselamatan diri yang mereka tanggung," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Nazri menerusi laporan Sinar Daily baru-baru ini mendakwa banjir yang melanda Malaysia pada setiap tahun mempunyai potensi untuk menjadi tarikan pelancong dan Malaysia harus mencari peluang mempromosikan 'pelancongan kesukarelawanan'.

Tambah Chin Kok, tanggungjawab kerajaan adalah untuk melindungi orang ramai seboleh yang mungkin dengan mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan berlakunya banjir di tempat terbabit serta minima kerugian.

"Justeru, saya menggesa Mohamed Nazri perlu memikirkan cadangan membina, cadangan yang boleh mengurangkan beban orang ramai daripada kesusahan, bukannya cubaan membuat kenyataan optimis selepas orang ramai kehilangan tempat tinggal dan orang tersayang," jelasnya.

Artikel Berkaitan: