Ditawar kerja hotel sebelum direkrut jadi 'scammer'

Peluang pekerjaan yang ditawarkan sebenarnya tidak wujud sebaliknya tujuan sebenar sindiket hanya untuk menjadikan mangsa sebagai 'keldai scammer' Macau Scam yang beroperasi di luar negara. - Foto hiasan 123RF
Peluang pekerjaan yang ditawarkan sebenarnya tidak wujud sebaliknya tujuan sebenar sindiket hanya untuk menjadikan mangsa sebagai 'keldai scammer' Macau Scam yang beroperasi di luar negara. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUANTAN - Tawaran kerja dalam sektor perhotelan di luar negara dengan gaji lumayan antara modus operandi sindiket penipuan untuk menarik rakyat negara ini ke sesebuah negara sebelum direkrut sebagai anggota sindiket itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud sebaliknya tujuan sebenar sindiket hanya untuk menjadikan mangsa sebagai 'keldai scammer' Macau Scam yang beroperasi di luar negara.

Menurutnya, ada individu ditawarkan bekerja di hotel baharu di luar negara dengan gaji lumayan.

"Bagaimanapun hotel yang dimaksudkan masih dalam pembinaan berdasarkan gambar yang ditunjukkan sebagai bukti tentang peluang pekerjaan ditawarkan.

"Tawaran peluang pekerjaan tidak wujud ini biasanya melalui aplikasi WhatsApp untuk memperdaya mangsa terutama dalam kalangan individu yang terdesak dan memerlukan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Barisan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang di sini pada Isnin.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin dan Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Yong Kim Hong.

Ramli berkata, mana-mana individu yang menerima tawaran kerja di luar negara dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan tawaran itu.

"Jangan terus menerima sekiranya tawaran itu meragukan biarpun ditawarkan gaji lumayan kerana kita bimbang kesudahannya mereka terjerat dan direkrut sebagai 'scammer'," katanya.

Ramli berkata, penawaran pekerjaan tidak wujud di luar negara untuk merekrut rakyat negara ini sebagai 'keldai scammer' antara isu jenayah baharu yang perlu diberi perhatian dan dengan langkah-langkah pencegahan supaya tiada yang menjadi mangsa.

"Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan di negara ini, mangsa yang ke luar negara selepas menerima tawaran pekerjaan gagal dikesan sehingga ahli keluarga tampil membuat laporan polis tentang kehilangan mereka.

"Bagaimanapun belum ada laporan seumpama itu diterima polis kontinjen Pahang setakat ini," katanya.

Beliau berkata, masyarakat di negeri ini perlu diberi kesedaran tentang perkara tersebut bagi mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa.