Individu, syarikat tipu bidaan tender kerajaan wajar dihukum

Muhammed Ismail
Muhammed Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu atau syarikat yang melakukan tipu bidaan dalam tender kerajaan wajar dihukum kerana menzalimi hak pengusaha lain yang bersaing secara telus dan adil.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM), Muhammed Ismail Abdul Haiyee berkata, pelaksanaan Pekeliling Kerajaan 1.6 Integriti Dalam Perolehan Kerajaan (PK 1.6) oleh Kementerian Kewangan dengan menyenarai hitam individu atau syarikat terlibat dalam tipu bidaan selama tempoh lima tahun bermula 1 Jun lalu adalah tindakan tepat.

Menurutnya, tindakan itu dianggap memadai bagi memberikan pengajaran kepada pelaku terbabit supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

"Sepatutnya individu dan syarikat terbabit bersyukur kerana hanya disenarai hitam berbanding penggantungan lesen atau lesen perniagaan ditarik yang pastinya boleh menutup sesebuah perniagaan.

"DPMUM menyokong tindakan kerajaan menerusi Pekeliling Kerajaan PK 1.6 ini dalam usaha membendung berlakunya kes-kes penipuan bidaan, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail memberitahu pelaksanaan PK 1.6 dilakukan susulan jumlah aduan berhubung penipuan bidaan didapati meningkat hampir 200 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan membabitkan nilai bidaan berjumlah lebih RM2 bilion.

Iskandar berkata, penguatkuasaan PK 1.6 tersebut mampu membanteras ketirisan dalam perolehan kerajaan yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

Dalam pada itu Muhammed Ismail mencadangkan hukuman tersebut distruktur mengikut peratusan jumlah perolehan hasil daripada bidaan tipu yang dilakukan.

"DPMUM juga mencadangkan hukuman diberikan mengikut peringkat iaitu senarai hitam dan denda kepada individu atau syarikat yang melakukan kesalahan pertama.

"Hukuman lebih berat dikenakan sekiranya pelaku melakukan kesalahan berulang dengan tindakan penarikan atau penggantungan lesen boleh dikenakan sebagai amaran akhir," katanya.