Bekalan ikan belum stabil

LKIM mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil susulan keadaan cuaca yang masih tidak menentu. - Gambar hiasan
LKIM mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil susulan keadaan cuaca yang masih tidak menentu. - Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil susulan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kebiasaannya bulan Mei cuaca kembali seperti sedia kala tetapi sehingga kini masih tidak menentu sekaligus menyebabkan ikan yang didaratkan berkurangan.

Menurutnya, LKIM perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan sebanyak mungkin ikan untuk disejukbekukan ketika musim penangkapan.

"Sebab itu saya tekankan kepada LKIM untuk membeli ikan ketika musim pendaratan daripada nelayan bagi membuat penyimpanan sejuk beku, bukan membeli daripada swasta bagi memastikan stok mencukupi apabila berlaku musim tengkujuh.

"LKIM mempunyai kilang dan tempat penyimpanan sendiri. Apabila stok ikan ada dalam simpanan, tidak timbul soal bekalan kurang sekaligus mengatasi masalah kartel," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Terbuka Pejabat Pusat Khidmat P059, di sini pada Ahad.

Syed Abu Hussin berkata, isu kartel melibatkan bekalan ikan timbul disebabkan LKIM tidak membuat persediaan awal untuk menyimpan stok ikan.

Menurutnya, kumpulan kartel kemudian mengambil kesempatan mengurangkan bekalan ikan di pasaran dan seterusnya menentukan harga.

Dalam pada itu, beliau mengakui wujud masalah dalaman apabila terdapat pegawai di dalam LKIM yang mengambil ringan mengenai cadangan penyimpanan stok ikan itu.

Syed Abu Hussin berkata, pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara sedang diusahakan bagi membincangkan tindakan lanjut yang boleh diambil.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan bersifat peribadi sebaliknya bertujuan memastikan LKIM menjalankan peranan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!