TMESA bantu 800 pelajar B40 melalui SAS

Muhammad Nasir (tengah) bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan TMESA, guru, penceramah TNB dan pelajar yang menyertai Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2 di SMK Tengku Mahmud pada Sabtu.
Muhammad Nasir (tengah) bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan TMESA, guru, penceramah TNB dan pelajar yang menyertai Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2 di SMK Tengku Mahmud pada Sabtu.
A
A
A

BESUT – Hampir 800 pelajar kurang berkemampuan atau B40 sudah mendapat manfaat program 'Sponsor A Student' (SAS) yang dilaksanakan oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut sejak 17 tahun lalu.

Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, bantuan melibatkan sumbangan berjumlah RM2.4 juta itu diberikan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud dan pelajar B40 di daerah ini, Setiu dan Hulu Terengganu.

“Dianggarkan 70 pelajar akan dibantu pada setiap tahun dan kita berpuas hati kerana sejak ia diadakan, sudah ramai pelajar program SAS berjaya menyambung pelajaran di universiti selain ada yang sudah bekerja di Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas hadir merasmikan majlis penutup Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2 di SMK Tengku Mahmud pada Sabtu.

Muhammad Nasir (empat dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil pelajar yang menyertai Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2 di SMK Tengku Mahmud pada Sabtu.
Muhammad Nasir (empat dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil pelajar yang menyertai Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2 di SMK Tengku Mahmud pada Sabtu.

Program secara hibrid anjuran TMESA dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bertujuan memberi maklumat dan kesedaran tentang kesihatan serta keselamatan dalam kalangan 360 pelajar SMK Tengku Mahmud dan SMK Tengku Mahmud 2.

Mengulas lanjut, Muhammad Nasir berkata, selepas dua tahun tergendala berikutan pandemik Covid-19, program SAS akan diteruskan pada tahun depan dengan sasaran sekurang-kurangnya 70 pelajar B40 lagi akan dibantu bagi memastikan pendidikan mereka tidak terabai.

“Kita dalam proses mengenal pasti pelajar yang betul-betul tidak berkemampuan tapi ada potensi dalam pelajaran untuk dibantu supaya kekangan kewangan tidak menjadi halangan buat mereka masuk universiti atau sambung belajar ke mana-mana institusi.

“Selain bimbingan akademik, bantuan duit poket akan kita berikan kepada pelajar terpilih kerana kita dapati ada pelajar datang sekolah dengan perut kosong, makan hanya sekali sehari atas faktor kekangan ekonomi keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan TMESA akan terus bekerjasama dengan sekolah dan pihak tertentu bagi menganjurkan program motivasi, ceramah dan kursus pendidikan kepada pelajar sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan.

Muhammad Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, pada tahun ini, lebih lima program motivasi sudah diadakan secara dalam talian demi memastikan kecemerlangan pelajar terus diperkasa.

“Selepas Program Seminar Kesihatan dan Keselamatan Pelajar ini, kita bercadang untuk adakan program persediaan menghadapi peperiksaan pula dengan menjemput pakar-pakar yang sesuai memberi ceramah pendidikan kepada pelajar,” katanya.