USM sedia tubuh Sekretariat Rasuah Busters

Mahasiswa USM bersama peserta #Konvoi Rasuah Busters.
Mahasiswa USM bersama peserta #Konvoi Rasuah Busters.
A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menyambut baik usaha yang dilakukan Rasuah Busters dalam mendidik masyarakat khususnya golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai bahaya rasuah.

Penasihat Undang-undang USM, Dr Khairul Anuar Che Azmi berkata, usaha berterusan sebegini amat diperlukan dalam melahirkan generasi pemimpin yang mempunyai integriti tinggi dan bebas rasuah.

"Saya sangat gembira dengan program Rasuah Busters ini terutamanya penglibatan daripada mahasiswa USM. Sudah tentu kita ada penglibatan ramai daripada Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) USM dan juga Angkatan Anti Rasuah Mahasiswa (AMAR) di sini.

"Melalui pendekatan yang dilakukan Rasuah Busters ini, saya rasa ia lebih kepada pendedahan dan membuatkan mereka lebih memahami apakah kriteria rasuah yang perlu dijauhi untuk mereka jadikan sebagai panduan.

"Selain itu mereka kena banteras, kena tanam dalam diri untuk pastikan Malaysia tanpa rasuah bukan sahaja di USM malah di peringkat negara kita," katanya ditemui selepas menyambut ketibaan Konvoi #RasuahBusters di sini, pada Jumaat.

Khairul Anuar yang juga Ketua Unit Integriti USM berkata, sebagai tanda sokongan terhadap usaha dilakukan Rasuah Busters, pihak USM juga berhasrat untuk menubuhkan Sekretariat Rasuah Busters di peringkat USM.

Khairul Anuar
Khairul Anuar

Beliau berkata, meskipun USM sudah mempunyai dua sekretariat sedia ada iaitu AMAR dan SRIM, tidak salah sekiranya satu lagi sekretariat diwujudkan secara menyeluruh di semua kampus USM.

Jelasnya, setakat ini program sedemikian hanya tertumpu di kampus induk USM dan beliau berharap ia akan diperluaskan di Kampus Kesihatan di Kelantan dan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

"Kita akan mengusulkan perkara ini kepada pengurusan tertinggi USM untuk dipertimbangkan seterusnya direalisasikan.

"Kita berharap usaha murni akan diteruskan agar segenap lapisan masyarakat terutamanya mahasiswa tidak akan terjerumus malah jijik dengan perbuatan rasuah yang boleh menghancurkan masa depan diri sendiri dan negara," katanya.

Konvoi #RasuahBusters Gegar Wilayah Utara di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diadakan bermula 12 hingga 18 Jun bagi meneruskan misi menyebarkan kesedaran antirasuah dalam kalangan masyarakat.

Program itu juga menjadi platform informasi antirasuah disebarkan dan menjalin kebersamaan gerakan rakyat kepada rakyat dalam membangun sistem nilai demi melahirkan Malaysia tanpa rasuah.

Mahasiswa USM yang bersama dalam aktiviti Rasuah Busters pada Jumaat.
Mahasiswa USM yang bersama dalam aktiviti Rasuah Busters pada Jumaat.