Guru dari Pahang berhasrat bangunkan Studio Multimedia OKU pertama di Malaysia

Kegigihan Mohammad Hazeem membuka dimensi baharu dalam pendidikan multimedia kepada golongan OKU mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemenang RISE Educator of the Year 2022.
Kegigihan Mohammad Hazeem membuka dimensi baharu dalam pendidikan multimedia kepada golongan OKU mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemenang RISE Educator of the Year 2022.
A
A
A

SUBANG JAYA – Taylor’s College dan bahagian keterlibatan pelajarnya, The Risers, mengumumkan pemenang kempen RISE Educator Award di Taylor’s Lakeside Campus. Bersempena dengan sambutan Hari Guru, institusi itu meraikan dan memberi penghormatan kepada guru-guru cemerlang yang telah berkhidmat melebihi tanggungjawab mengajar mereka bagi memberi inspirasi kepada kecemerlangan pendidikan dan sosial pelajar mereka.

Finalis dan pencalon mereka dari pelbagai negeri di Malaysia termasuk Perak, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang menyertai majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, Timbalan Naib Canselor Taylor’s dan Ketua Pegawai Akademik, Profesor Dr Pradeep Nair dan Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan Lian Lei.

Pada majlis itu, Mohammad Hazeem bin Azemi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau telah dinobatkan sebagai RISE Educator of the Year.

Kisah luar biasa guru ini dalam mencetus inspirasi di dalam dan luar bilik darjah telah menyentuh hati panel juri kempen ini yang turut disertai pemenang tahun lepas, iaitu guru dari Sekolah Kebangsaan Luagan, Lawas, Muhammad Nazmi,

Menurut Mohammad Hazeem, inilah saat paling membanggakan apabila memenangi RISE Educator of the Year.

Pendedahan kepada pendidikan multimedia yang diusahakan Mohammad Hazeem memberikan satu sinar baharu kepada para pelajar OKU luar bandar.
Pendedahan kepada pendidikan multimedia yang diusahakan Mohammad Hazeem memberikan satu sinar baharu kepada para pelajar OKU luar bandar.

Katanya, ia adalah pengiktirafan usaha golongan pendidik kepada pelajar mereka, dan beliau terharu kerana kisahnya dalam mencetus kecemerlangan kepada pelajar berkeperluan khas dan Orang Asli telah memenangi hati para juri RISE Educator Award.

"Saya sentiasa bersemangat dalam pendidikan khas. Pendidikan khas sentiasa di hati kerana saya membesar dengan seorang sepupu yang merupakan seorang pelajar lembam.

"Saya menyaksikan sendiri bagaimana sistem pendidikan memberi cabaran kepada pembelajarannya. Jerit-perihnya telah menyebabkan saya mendapatkan ijazah dalam pendidikan khas kerana saya ingin memahami bagaimana saya boleh menjadikan pembelajaran lebih senang, boleh dicapai dan inklusif kepada beliau dan golongan masyarakat ini,” katanya.

Dalam kisah kemenangannya, pencalonnya, Haspura Abu Hanipah menulis tentang bagaimana Mohammad Hazeem berusaha sendiri untuk membangunkan konsep Studio Multimedia OKU di sekolahnya,.

Kata Mohammad Hazeem, ia adalah sebuah makmal IT yang berkonsep mesra OKU pertama di Malaysia untuk pelajar berkeperluan khas dan Orang Asli.

“Studio itu yang dibangunkan dengan konsep permainan komputer (gaming) dilengkapi dengan kerusi dan meja ‘gaming’ serta komputer dan kelengkapan aksesori untuk memberi motivasi kepada pelajar agar tekun dalam pelajaran mereka.

"Melalui makmal itu, pihak sekolah dan saya telah mereka modul pembelajaran yang mengajar pelajar kemahiran IT seperti suntingan video dan foto, pembelajaran berasaskan permainan komputer, kemahiran penyiaran dan banyak lagi,” jelasnya.

Pelajar OKU teruja dengan makmal multimedia yang diinsiprasikan oleh Mohammad Hazeem (kanan).
Pelajar OKU teruja dengan makmal multimedia yang diinsiprasikan oleh Mohammad Hazeem (kanan).

Menurut Pengetua SMK Kuala Krau, Mat Jusoh Che Ngah, penajaan sebanyak RM10,000 daripada Taylor’s College akan digunakan untuk menambahbaik studio multimedia dan melengkapkannya dengan lebih banyak kemudahan dan aksesori antaranya skrin hijau, kamera digital dan sistem bunyi.

Katanya, sebagai sebuah sekolah di kawasan pedalaman, beliau dapat melihat bagaimana jurang pengetahuan memberi kesan kepada pengalaman dan peluang antara pelajar bandar serta luar bandar.

"Oleh kerana itu, kami menyokong sepenuhnya Cikgu Hazeem dalam hasratnya untuk membina studio multimedia agar kami dapat mengecilkan jurang ini dan membolehkan pelajar kami mendapat peluang yang sama untuk memperoleh kemahiran setaraf dengan rakan-rakan yang bernasib lebih baik.

"Kami percaya bahawa Studio Multimedia OKU akan membantu mengajar pelajar kami dengan kemahiran hidup yang lebih baik dan berdikari setelah mereka menamatkan pembelajaran di sekolah menengah.

"Oleh itu, sekiranya pelajar kami tidak dapat meneruskan pembelajaran mereka kerana hal peribadi seperti kekangan kewangan, tanggungjawab kepada keluarga atau lain-lain, mereka masih mempunyai kemahiran penting untuk membolehkan mereka mencari kerjaya sendiri tanpa memerlukan sijil profesional.

Selain pengetahuan akademik, jelas Mat Jusoh, studio ini akan membantu melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang perlu bagi kerjaya di dalam multimedia.

Makmal multimedia di SK Kuala Krau yang diilhamkan oleh Mohammad Hazeem.
Makmal multimedia di SK Kuala Krau yang diilhamkan oleh Mohammad Hazeem.

Sehubungan itu, pihak SK Kuala Krau amat berterima kasih kepada Taylor’s College kerana memilih kisah Mohammad Hazeem bagi RISE Educator of the Year dan menghadiahkan sekolah dengan penajaan sebanyak RM10,000.

Sementara itu, menurut Josephine Tan, pihaknya begitu terharu dengan usaha luar biasa Mohammad Hazeem dalam membantu pelajarnya untuk cemerlang dalam pembelajaran dan hidup mereka.

Katanya, apabila bercakap mengenai profesion perguruan, majoriti bersetuju bahawa ia adalah kerjaya yang mulia dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi pendidik kerana kami dipertangunggjawabkan untuk mendidik, membentuk dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi anggota masyarakat yang produktif.

"Tidak cukup untuk memastikan mereka cemerlang dalam pelajaran sahaja, malah pembangunan sosial di luar bilik darjah juga adalah penting untuk membina jati diri pelajar seperti kepercayaan diri, kemahiran digital serta kesejahteraan mental dan emosi.

"Kisah Cikgu Hazeem menjadi lambang kekuatan seorang pendidik yang bersemangat untuk memberi inspirasi kepada pelajarnya di dalam pembelajaran dan pembangunan sosial mereka.

"Selepas kemenangan ini, kami akan terus menyokong Cikgu Hazeem dan SMK Kuala Krau Pahang dalam usaha mereka untuk membina Studio Multimedia OKU,” katanya.

Lebih bermakna bagi pelajar yang menamatkan kursus yang dibimbing Mohammad Hazeem akan diberi ‘Sijil Kemahiran Tahap 3’ yang akan membolehkan pelajar menggunakannya untuk memohon pekerjaan.

Anugerah turut meliputi RISE Educator Award; dengan pemenangnya dipilih melalui undian popular di laman web institusi itu serta RISE Educator Award: Taylorian Edition, yang membolehkan pelajar dan komuniti Taylor’s mengundi kisah pensyarah kesukaan mereka.

Saifulnizan Che Ismail dari Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kelantan memenangi RISE Educator Award tahun ini; manakala Dr Choo Hui Leng dari School of Engineering, Taylor’s University memenangi RISE Educator Award: Taylorian Edition.

Kedua-dua pemenang menerima wang tunai RM2,000, manakala pencalon mereka masing-masing menerima RM500. Untuk maklumat lanjut mengenai RISE Educator Award, sila layari di sini.