Masalah internet antara cabaran guru mengajar di kawasan pedalaman

 Masiung (dua dari kiri) diiringi Jonnybone (kiri) dan Barizah (dua dari kanan) ketika diraikan oleh murid-murid SK Sogo-Sogo, Tongod, pada majlis pelancaran Program Gerakan Massa sempena Hari Guru peringkat daerah Tongod dan Telupid.
Masiung (dua dari kiri) diiringi Jonnybone (kiri) dan Barizah (dua dari kanan) ketika diraikan oleh murid-murid SK Sogo-Sogo, Tongod, pada majlis pelancaran Program Gerakan Massa sempena Hari Guru peringkat daerah Tongod dan Telupid.
A
A
A

TONGOD - Cabaran guru bukan hanya ketika mengajar tetapi terpaksa berhadapan keadaan persekitaran yang kurang memberangsangkan termasuk ketiadaan akses jalur lebar dan kemudahan asas ketika memberi perkhidmatan kepada murid di pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, tidak semua guru bernasib baik dapat berkhidmat di kawasan bandar sebaliknya ramai dalam kalangan mereka terpaksa melalui pelbagai kesukaran ketika bertugas di kawasan pedalaman yang serba daif.

"Mereka bukan saja terasing dari alam maya akibat ketiadaan akses internet, malah sekolah tempat mereka bertugas terlalu daif selain tiada kemudahan jalan raya, bekalan air serta elektrik," katanya ketika melancarkan program Gerakan Massa sempena Hari Guru peringkat daerah Tongod dan Telupid, pada Khamis.

Hadir sama ialah ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum dan Pegawai Pendidikan Daerah, Barizah Mohd Kahar.

Masiung berkata, tugas guru sebagai penyampai ilmu dan perlu menjadi ikon kepada masyarakat dan pelajar menjadikan mereka cekal menempuh rintangan ketika mengajar di kawasan pedalaman.

"Meskipun banyak kekangan dan cabaran, guru-guru yang dihantar bertugas merentasi hutan dan sungai terutama di daerah Tongod dan Telupid ini tetap bersemangat mendidik anak bangsa," katanya.

Sebelum itu, bagi memeriahkan program itu, Masiung dan Jonnybone menyertai konvoi bersama 80 kenderaan dan berarak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sogo-Sogo dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon.