Upah RM200 seludup 1.3 tan daun ketum

Tiga lelaki ditahan ketika cuba menyeludup keluar lebih kurang 1.3 tan daun ketum di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.30 pagi pada Khamis.
Tiga lelaki ditahan ketika cuba menyeludup keluar lebih kurang 1.3 tan daun ketum di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.30 pagi pada Khamis.
A
A
A

KUALA KEDAH - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki ditahan ketika cuba menyeludup keluar lebih kurang 1.3 tan daun ketum di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.30 pagi Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak menuju keluar muara Kuala Kedah.

Beliau memberitahu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan selepas menerima maklumat risikan dan bot terbabit berjaya dikesan pada jam 2.20 pagi sedang bergerak dalam keadaan gelap.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot bagaimanapun berjaya dipintas bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Pemeriksaan mendapati, tiga lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 33 hingga 39 tahun berada di atas bot berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, tiga lelaki ditahan itu ditahan bersama 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan.

Noor Azreyanti berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek lelaki warga tempatan itu berasal dari kawasan berdekatan dan menerima upah RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran.

Katanya, daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan daun ketum telah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran.

Tambah beliau, daun ketum juga mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 bagi setiap satu kilogram (kg).

"Susulan itu, tiga suspek ditahan dan kesemua bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM234,000 serta sebuah bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM70,000 dirampas serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut," katanya.

130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah.
130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, kes terbabit merupakan tangkapan kedua melibatkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

Beliau berkata, walaupun banyak rampasan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Bagaimanapun, Noor Azreyanti menegaskan Maritim Malaysia memandang serius akan jenayah ini akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia.

Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.