Padah cederakan sepupu, tokan dadah dicekup

Ahmad Ridhwan menunjukkan selaras senapang patah yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki di Kampung Olak Lempit di sini pada Selasa.
Ahmad Ridhwan menunjukkan selaras senapang patah yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki di Kampung Olak Lempit di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LANGAT - Padah mengugut serta mencederakan saudara sendiri, seorang lelaki tempatan dipercayai tokan dadah diberkas dalam kejadian di Kampung Olak Lempit di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, tangkapan dijalankan susulan kejadian yang menimpa mangsa pada 1 Mei lalu.

"Mangsa berumur 27 tahun merupakan wanita warga tempatan mendakwa berlaku perselisihan faham dengan bapa saudaranya berpunca daripada lelaki itu membuat bising semasa anaknya sedang tidur.

"Kemudian, sepupu yang juga anak kepada bapa saudara itu telah mengugut keluarga mangsa dengan sebatang besi dan batu sebelum berlaku kekerasan terhadap mangsa sehingga menyebabkan luka kecil di bibir wanita terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, lelaki tersebut diberkas di Kampung Olak Lempit pada Selasa.

"Serbuan dijalankan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat kira-kira jam 11 malam berjaya memberkas lelaki berumur 36 tahun.

"Selain itu, polis turut merampas sejumlah dadah jenis ganja, selaras senapang angin, satu bekas bulat bertutup biru bertulis 'steel ball' saiz satu perempat, sekeping papan kayu pemotong, sebilah pisau besi, beg sandang, penimbang digital warna hitam dan satu botol minuman yang telah diubah suai," katanya.

Menurutnya, semakan rekod dijalankan mendapati lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau iaitu tiga rekod jenayah dan dua babitkan narkotik.

"Selain itu, siasatan dijalankan turut mendapati lelaki berkenaan aktif dalam kegiatan dadah di kawasan Banting sejak tiga tahun lalu," jelasnya.

Ujar Ahmad Ridhwan, kes disiasat di bawah seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan lelaki itu direman lima hari untuk siasatan lanjut.