LRA Pelubang selesai masalah bekalan air bersih di Kuala Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menandatangani plak pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, di sini pada Khamis.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menandatangani plak pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Isu gangguan bekalan air di Kuala Kedah bakal diatasi dalam tempoh tujuh bulan lagi melalui kerja-kerja pemasangan jajaran paip baharu atau ‘bypass’ dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di daerah Kubang Pasu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, masalah bekalan air berkenaan dilihat dapat diatasi selepas pemasangan jajaran paip baharu yang menelan belanja RM431 juta dilaksanakan.

Muhammad Sanusi berkata, bekalan air terawat dari LRA Pelubang dapat disalurkan secara terus ke kawasan terlibat dengan adanya pemasangan jajaran paip baharu tersebut tanpa terlalu bergantung kepada paip lama.

“Ia akan mengambil masa tujuh bulan dan akan menyelesaikan isu bekalan air yang berlaku di Kampung Tengku Laksamana, Taman Bersatu, Pekan Kuala Kuala dan beberapa Kawasan perumahan.

“Sistem ini akan ‘bypass’ paip lama dan akan fokus kepada permintaan air yang tinggi di Kuala Kedah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Tambah beliau, terdapat lebihan air terawat di loji sedia ada untuk membolehkan bekalan air disalurkan kepada penduduk di Kawasan terlibat namun memerlukan paip baharu.

“Insya-Allah, ia akan berupaya untuk memenuhi permintaan bekalan air di sebahagian besar wilayah utara Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar serta sebahagian Yan dan Pendang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri juga akan memberi fokus kepada usaha mengurangkan masalah air tidak terhasil (NRW), selain merancang pembangunan infrastruktur baharu seiring keperluan sedia ada sebelum tahun 2040.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Che Had Dhali menyasarkan projek menaik taraf LRA Pelubang dan sistem pengagihan daripada kapasiti 227 juta liter sehari (mld) kepada 454 juta liter sehari (mld) sebagai penyelesaian untuk membekalkan air terawat mencukupi ke kawasan mencatatkan permintaan tinggi di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu sehingga tahun 2040.

Che Had menerangkan LRA Pelubang yang terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Alor Setar dibina pada Julai 1984 dan telah ditauliahkan operasi pada Januari 1987 dengan kapasiti asal 113.5 juta liter sehari (MLD).

Katanya, sejajar dengan pembangunan pesat pada waktu itu, LRA berkenaan kemudiannya telah dinaiktaraf kapasitinya kepada 227 MLD pada tahun 1994.

“Bagaimanapun, LRA Pelubang telah mencatatkan rekod pengeluaran air pada kadar pengeluaran purata 230 MLD pada 2015, yang mana ia melebihi dari kapasiti rekabentuk asalnya iaitu 227 MLD,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LRA itu membekalkan air bersih kepada sebahagian besar daerah di wilayah Utara Kedah yang merangkumi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kuala Kedah serta sebahagian Yan dan Pendang.

Che Had menjelaskan pengoperasian yang melebihi kapasiti rekabentuk ini tidak dapat dielakkan bagi menampung peningkatan keperluan yang berpunca dari pertambahan penduduk dan pembangunan yang pesat khususnya di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

“Disebabkan itu, kita selalu mendengar dari semasa ke semasa masalah gangguan bekalan air di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, yang puncanya antara lain kerana kekangan kapasiti pengeluaran LRA sedia ada,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, kekurangan kadar aliran air di dalam sistem paip sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti keperluan air semasa, ditambah pula dengan kadar air tidak berhasil yang tinggi.

Sehubungan itu, bagi Che Had, projek menaik taraf LRA Pelubang bukan hanya akan memberi manfaat yang dinikmati rakyat Kedah secara langsung, namun BDB juga akan menikmati faedah khususnya anak syarikat seperti BBD Land Sdn Bhd (BDB Land), Kedah Holdings Sdn Bhd (Kedah Holdings) serta BDB Leisure Sdn Bhd (BDB Leisure).