Kes Bella: Hakim nasihat semua pihak bekerjasama libat senarai saksi

Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding kes menganiaya seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella pada Khamis.
Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding kes menganiaya seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menasihati semua pihak supaya menjalin kerjasama yang baik sepanjang prosiding kes menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella membabitkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Hakim Izralizam Sanusi membuat teguran berkenaan sebelum prosiding bermula dengan bertanya mengenai senarai saksi yang belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Hal yang berkaitan dengan pengurusan kes seperti penyelarasan saksi, pihak-pihak boleh berbincang untuk mendapatkan maklumat antara satu sama lain.

“Saya nasihatkan ya, itu proses biasa, masa bermula telah menetapkan perkara-perkara yang berkaitan dengan saksi,” katanya.

Bagaimanapun hakim itu berkata, pemilihan saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah atas budi bicara pihak pendakwaan.

Pada bila-bila masa beliau berkata, pihak pendakwaan boleh menyusun saksi mana yang boleh dipanggil dan boleh ditawarkan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas menjawab bahawa seramai 10 saksi belum memberi keterangan dalam kes terlibat.

Isnin lalu, peguam pemerhati bagi kes Bella, memohon penjelasan berhubung beberapa perkara yang dilihat 'tidak harmoni' dalam perbicaraan kes itu.

Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, ia berkaitan ketidakhadiran remaja sindrom Down itu bagi kali kedua, untuk sesi pengecaman saksi dan tertuduh.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Prosiding bersambung sebentar lagi.