Ibu tunggal didenda buat laporan palsu disamun

Tertuduh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu kerana membuat laporan palsu disamun pada 10 Jun lalu.
Tertuduh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu kerana membuat laporan palsu disamun pada 10 Jun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang ibu tunggal membuat laporan palsu kononnya disamun di sebuah stesen minyak di sini, mengundang padah apabila dia didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Pekerja kedai makan, Lim Zhi Yin, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang diketahui palsu kepada seorang anggota polis berpangkat Konstabel, di Balai Polis Serdang pada jam 11.45 pagi, 10 Jun lalu.

Tertuduh menyedari bahawa ia akan menyebabkan siasatan dijalankan, di mana penjawat awam tersebut tidak perlu melakukan siasatan sekiranya keadaan sebenar diketahui.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis menyatakan telah disamun oleh dua lelaki menggunakan pisau, di tandas sebuah stesen minyak di sini.

Setelah disiasat, pihak polis mendapati tiada kejadian samun berlaku dan tertuduh kemudiannya mengakui membuat laporan palsu.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.